Wednesday, 15 January 2014

Blog Yang Mendapat Perhatian

Apabila mula membangunkan blog ini saya sentiasa  berfikir bagaimana mahu mencipta blog yang boleh menarik perhatian pengunjung.

Tulisan ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Mungkin bermanfaat kepada pembaca yang berminat untuk menulis blog. Jangan pendamkan ilmu yang ada di dada. Kongsikan dengan orang lain.

Sayyidina Ali bin Abi Thalib Karamallahu Wajhah pernah berkata. "Ikatlah Ilmu Dengan Menulisnya".
InsyaAllah kita akan merasai nikmatnya.

Jika ada yang berkata menulis blog ini seperti syok sendiri sahaja. Biarlah. Sekurang-kurangnya syok saya boleh dikongsi dengan orang lain.

Berbalik kepada persoalan tadi. Bagaimana mencipta blog yang mampu menarik perhatian pengunjung?

Bagaimanakah jawapannya? Saya sendiri tercari-cari.

Akhirnya saya mendapat jawapan melalui pengalaman saya sendiri. Dengan bertanya soalan ini kepada diri sendiri. Jika saya mempunyai masalah di manakah tempat yang pertama sekali saya tuju?

Ya,  GOOGLE. Saya akan mendapatnya melalui carian di google dengan harapan saya akan mendapat jawapannya.

Oleh itu untuk mencipta blog yang mendapat perhatian maka saya perlu membuat satu blog yang dicari-cari oleh pengunjung di mana maklumat tersebut mestilah dapat menyelesaikan masalah pengunjung tersebut.

Soalan seterusnya apakah kepakaran saya untuk menyelesai masalah pengunjung tersebut? Saya hanya tahu menjahit. Tidak ada kepakaran lain.

Oleh itu saya mesti membina satu blog yang berkaitan dengan dunia jahit menjahit dengan memberi panduan kepada pengguna yang mahukan maklumat tersebut.

Dari situlah muncullah idea untuk memberi panduan berkaitan dengan jahit-menjahit ini. Blog ini tentunya mempunyai niche yang spesifik, tetapi tetap ada peminatnya sendiri.

Alexis Dawes dalam ebooknya "Desperate Buyers Only" menyatakan jika kita ingin menjual sesuatu produk informasi, ciptalah satu produk informasi tersebut dan jualkan kepada mereka yang amat-amat memerlukannya untuk menyelesai masalah mereka. Dengan kata lain mereka betul-betul terdesak untuk mendapatkannya untuk menyelesaikan masalah mereka. Maka produk informasi tersebut akan terjual.

"Create and sell information products to people who are highly anxious to solve their problems"

Begitulah tulisan dari Alexis Dawes yang menjadi rujukan saya dalam menulis blog ini.

Di dalam blog ini saya tidak menjual produk informasi tetapi saya menulisnya secara percuma. Panduan dari Alexis Dawes dijadikan sebagai rujukan untuk menarik perhatian pengunjung. Oleh itu saya perlu menulis dengan memberi panduan yang dapat menyelesai masalah mereka. Itulah yang saya cuba lakukan dan akan terus lakukan.

Jika sesuatu panduan atau tulisan mampu menyelesaikan masalah pengunjung sudah tentu mereka akan mengucapkan terima kasih kepada kita kerana apa yang mereka cari selama ini akhirnya mereka dapati. Malahan ada yang akan berkata mengapalah baru sekarang aku berjumpa panduan ini. Kegembiraan akan terpancar di muka seolah-olah seperti terjumpa dengan gua yang penuh dengan harta karun.

Apabila blog kita sudah mendapat perhatian pengunjung,  InsyaAllah daripada situ  secara tidak langsung kita boleh menjana pendapatan melaluinya samada daripada tulisan atau servis yang kita berikan.

Saya petik satu quote dari Steve Pavlina,

 “It should feel genuinely good to earn income from your blog – you should be driven by a healthy ambition to succeed. If your blog provides genuine value, you fully deserve to earn income from it.” 

"Ia harus merasa benar-benar terbaik untuk menjana pendapatan melalui blog anda - anda harus didorong oleh cita-cita yang sihat untuk berjaya. Jika blog anda menyediakan nilai yang tulen, anda berhak sepenuhnya untuk memperolehi pendapatan melaluinya"

Ada yang bertanya saya "tidak rugikah memberi panduan menjahit tudung secara percuma melalui blog? Saya tidak merasa rugi apa-apa malah saya dapat menjana pendapatan yang agak baik dari panduan-panduan yang saya berikan samada melalui kelas, tempahan menjahit dan sebagainya.

Di sini saya senaraikan 10 post yang paling mendapat perhatian di dalam blog ini berbanding post-post yang lain. Maklumat yang dicari adalah yang mampu menyelesaikan masalah pengguna. Sudah tentunya dari bantuan google.

1. Panduan Jahit Sendiri Tudung Chiffon 3 Layer.


Dalam entri ini saya memberi panduan bagaimana menjahit sendiri tudung chiffon 3 layer.Panduan percuma ini memang dicari-cari oleh ramai penggemar tudung 3 layer. Langkah demi langkah ditunjukkan secara bergambar.

2. Cara Jahit Shawl Half Moon 2 Layer.


Entri ini berkaitan cara menjahit shawl half moon 2 layer. Saya juga memberi ukuran pola. Langkah demi langkah ditunjukkan secara bergambar.

3. Jahit Tepi Tudung dan Shawl.


Inilah servis yang paling banyak mendatangkan pendapatan kepada saya. Ada yang sanggup poskan shawl kepada saya untuk mendapat servis ini. Malahan ada pelanggan dari luar kawasan Bandar Baru Bangi juga datang untuk mendapat servis ini.

4. Beli Kain Di Jakel.


Entri ini lebih kepada maklumat mengenai pengalaman saya membeli kain di Jakel. Saya juga menyentuh tentang kejayaan Empayar Perniagaan Jakel.

5. Tempahan Menjahit Pakaian Yang Pelanggan Perlu Tahu.


Entri ini lebih kepada keluhan tukang jahit mengenai dilema yang dihadapi oleh tukang jahit ketika menerima tempahan pelanggan seperti kain tidak mencukupi dan sebagainya.

6. Jual Shawl dan Tudung Online Dengan Jenama Sendiri.


Antara entri yang mendapat perhatian dan menjadi panduan kepada sesiapa yang ingin mencipta jenama sendiri melalui jualan tudung dan shawl.

7. Panduan Menjahit Tudung Labuh Berdagu.


Entri ini masih baru lagi saya postkan tetapi begitu cepat sekali memintas post-post yang lebih awal. Begitu cepat mendapat perhatian. Panduan disertakan dengan langkah bergambar. Saya juga banyak menerima tempahan untuk tempahan tudung labuh ini sama ada untuk awning lembut atau awning keras. Berdagu ataupun tanpa pelapik dagu.

8. Cara Jual Shawl Online.


Entri ini memberi idea secara umum kepada mereka yang ingin menjual shawl secara online. Saya banyak mendapat tempahan menjahit shawl melalui entri ini. Malahan begitu banyak pertanyaan sehingga ke hari ini.

9. Menjahit Baju Kurung Berlace.


Ramai yang mengharapkan saya memberi panduan bagaimana menjahit baju kurung. Ini saya tahu melalui pertanyaan-pertanyaan melalui message dan sebagainya. Entri ini lebih kepada servis yang saya lakukan. Sedikit mengenai sejarah pakaian berlace saya masukkan di sini.

10. Panduan Tukar Sendiri Awning Tudung.


Entri ini saya tulis ketika mendapat servis menukar awning tudung dari pelanggan. Langkah demi langkah ditunjukkan. Saya juga berjaya meraih pendapatan melalui servis ini. Kebanyakan pelanggan menghantarnya melalui pos.

Lihat sendiri entri yang sebagaimana yang mendapat perhatian pengunjung. Kebanyakan dicari oleh pelanggan untuk menyelesaikan masalah mereka. Oleh sebab itulah saya berani menulis entri ini.

No comments:

Post a Comment