Wednesday, 5 March 2014

Jahit Cardigan


cardigan

Apabila pelanggan saya meminta untuk menjahit cardigan, saya pada mulanya ingin menolaknya kerana banyak lagi tempahan yang belum disiapkan. Apabila terus dipujuk akhirnya saya terima juga. Itu pun kerana sehelai sahaja yang minta dijahit.  Itu pun kerana dihantar bersama dengan selendang dengan kuantiti yang agak banyak untuk dijahit tepi halus.

Cardigan yang ditempah adalah jenis 'open cardigan' dengan fabrik berwarna hitam dan labuh. Cardigan labuh dan panjang menutupi punggung dan sesuai sebagai ciri-ciri cardigan muslimah. Akhirnya siap sudah cardigan tersebut dan terus mendapat idea untuk menulis entri ini berkaitan dengan cardigan.

Cardigan adalah pakaian yang dipakai pada lapisan sebelah luar baju seperti kita memakai jaket, code atau sweater. Di bahagian depannya terbuka dan boleh dikancingkan dengan butang, dizipkan, diikat dengan tali atau dengan pelbagai variasi yang lain untuk menutupnya.  Cardigan menjadi pilihan kerana   mudah untuk dipadankan dengan t-shirts, blouse, baju kurung, dress atau apa sahaja.

Terdpat pelbagai  pilihan model cardigan dengan pelbagai warna seperti seperti hitam, putih atau cokelat dan lain-lain. Cardigan juga mampu memberi kesan ramping pada tubuh jika kena dengan warna dan pilihan model cardigan. Cardigan juga boleh dipakai samada oleh lelaki atau wanita.

Terdapat banyak sebab kenapa ramai yang memilih cardigan sebagai pelengkap pakaian seharian mereka.
  • Apabila memakai cardigan seseorang itu boleh nampak bergaya.  Ianya boleh dipakai samada secara terbuka atau tertutup dengan mengenakan butang, zip, diikat dengan tali atau menggunakan tali pinggang. Jika diinginkan  penampillan gaya yang lebih kasual,  butang cardigan boleh dibiar terbuka. Jika inginkan gaya yang lebih formal,  cardigan boleh dikancing dengan butang  samada semua atau paling tidak pun  butangkan di bahagian tengah cardigan.  Cardigan juga boleh disintingkan pada bahagian lengan untuk keselesaan ketika melakukan kerja seperti menulis dan lain-lain..
  • Cardigan mempunyai  pelbagai jenis potongan sesuai dengan tubuh badan si pemakai. Terdapat juga stail dan ukuran berbeza mengikut citarasa masing-masing.
  • Cardigan direka untuk melindungi seseorang dari kedinginan terutamanya di negara-negara yang mengalami musim dingin dan bersalji. Di Malaysia cardigan boleh dipakai untuk melindungi dari kesejukan ketika cuaca sejuk, berada dalam pendingin hawa yang sejuk terutamanya bagi mereka yang bekerja di pejabat, menghadiri mesyuarat dan lain-lain.
  • Cardigan juga boleh melindungi pakaian yang dipakai daripada kekotoran seperti habuk dan lain-lain.
  • Cardigan boleh disarung di luar baju t-shirt dengan lengan pendek atau baju yang tidak berlengan. Boleh dipakai semasa di rumah ketika tiba-tiba ada tetamu datang. Pada waktu cardigan boleh disarungkan untuk melindungi pakaian yang kita yang terdedah. Jadi  di rumah pun boleh pakai cardigan.
  • Cardigan juga boleh melindungi baju yang sudah lusuh. Jika tidak ada pilihan baju lusuh dan sayang nak dibuang bolehlah dicover dengan cardigan.
  • Jika badan berisi boleh melindungi bahagian yang berisi supaya nampak lebih bergaya. Boleh menutupi bahagian yang kita tidak mahu kelihatan pada pandangan orang lain.
  • Cardigan juga boleh menjadi pakaian alternatif ketika menghadiri majlis tertentu jika tidak ada pakaian yang sesuai untuk dipakai. Dengan menutupnya dengan cardigan pemakai akan merasa lebih selesa ketika berada bersama-sama kawan sekerja di majlis atau ketika menghadiri mesyuarat dan lain-lain majlis. 
  • Cardigan boleh menjadi alternatif untuk dipakai ketika menyampai persembahan di hadapan khalayak ramai. Pemakai akan merasa lebih selesa dan yakin untuk menghadapi audience dan menyampai persembahan. Perlu ada kelainan antara penceramah dan peserta. Cardiganlah yang akan memberi kelainan.
  • Cardigan lebih fleksibel untuk digayakan dengan apa sahaja pakaian terutamanya untuk kaum wanita di mana seseorang wanita akan tampil dengan lebih mempesonakan dan menawan apabila memakai cardigan. Baju dengan potongan biasa jika dipadankan dengan cardigan boleh menjadikannya lebih menarik. Bolehlah perasan bergaya seolah-olah macam artis Korea.
  • Cardigan juga boleh bertindak sebagai aksesori tambahan dan boleh digabungkan dengan pakaian-pakaian yang lain sebagai pelengkap kepada pakaian yang sedia ada.  Bila digabungkan dengam pakaian lain, pemakai akan kelihatan lebih bergaya di mana cardigan dipakai sebagai lapisan luar dengan dress, baju kurung, gaun pendek dan sebagainya. Cardigan boleh menjadi pengganti kepada inner.
  • Cardigan dengan fabrik cotton  dan chiffon lebih sesuai dipakai untuk tempat yang bercuaca panas seperti di malaysia ini. Cotton biasanya lebih mudah menyerap peluh dan terasa sejuk dan berangin. 
  • Terdapat pelbagai model cardigan seperti  yang berlengan pendek atau panjang,  berbentuk leher bulat atau pun v-neck. Pemakai boleh memilih mengikut keselesaan, kehendak dan gaya masing-masing.
  • Apabila membeli cardigan pilihlah yang sesuai  dengan bentuk tubuh badan.  Untuk mereka yang gemuk, disarankan untuk memilih cardigan yang sedikit besar, tidak terlampau  ketat, kerana tubuh akan terlihat bulat, ketat dan sendat yang tentunya tidak manis dipandang. Untuk mereka  yang mempunyai paha dan punggung  yang besar pula, pilihlah cardigan yang panjangnya hingga menutup punggung dan bahagian di bawahnya.

Terdapat berbagai jenis cardigan.

Saya tidak perlulah meletakkan gambar untuk setiap satu kerana boleh mencari dan melihat sendiri menggunakan carian pada 'google images'.

Belted Cardigan: 

Cardigan ini lebih panjang dan terdapat ikat pinggang. Cardigan ini apabila diikat akan menampak kesan bergaya dan menawan sekali apabila dikenakan ikatan pinggang dan amat sesuai untuk wanita yang kurus.

Stripped Cardigan:  

Mempunyai motif garis atau jalur yang mampu mempunyai kesan sporty dan nampak lebih feminin. Kelihatan bergaya apabila dipadankan dengan t-shirt terutamanya kepada gadis-gadis. Dengan cardigan ini nampak lebih cool dan fashionable.

Patterned Cardigan: 

Cardigan ini dapat memberikan kesan ceria, segar dan fun kepada pemakainya. Cardigan ini juga mampu memberikan kesan lebih gemuk dan padat pada pemakainya. Guna jenis jika baju yang dipakai adalah jenis plain untuk kelihatan menarik.

Colourful Cardigan:

Pada mula cardigan datang dengan warna neutral berkecenderungan ke arah gelap. Dengan bertambahnya minat ke arah fesyen cardigan dan inovasi dari pereka fesyen, kini cardigan boleh diperolehi dengan pelbagai warna untuk menarik lebih perhatian.

Open Cardigan: 

Cardigan jenis ini terbuka di hadapannya  dan lebih panjang dan labuh. Kebiasaannya tidak mempunyai butang. Cardigan ini mampu memberi kesan kasual dan sederhana. Biasanya sesuai dipakai jika ingin bertemu pelanggan di luar pejabat atau di acara tidak terlalu resmi. Gambar yang saya tunjukkan di atas adalah contoh 'open cardigan' dari kain chiffon.

Boyfriend Cardigan: 

Cardigan yang simple dan dikhususkan kepada mereka yang inginkan kesan maskulin pada dirinnya. Sangat sesuai untuk majlis-majlis yang kasual.

Double Breasted Cardigan:

Cardigan ini terdapat dua baris kancing. Kebiasaanya model ini sering digunakan pada lapisan luar ketika berpakaian.

Dan pelbagai lagi jenis cardigan seperti Tunic Cardigan, Shawl-Collared Cardigan, Wrap Cardigan, Zipped Cardigan, Classic Cardigan, Cashmere Cardigan dan lain-lain.


Sedikit maklumat sejarah mengenai cardigan.

Mengikut sejarah, Cardigan mula diperkenalkan oleh James Thomas Brudenell, 7th Earl of Cardigan seorang Leftenan General  tentera British yang memimpin suatu perang di Eropah yang  dikenali sebagai “Crimean War”.  Perang tersebut terjadi kerana berlakunya konflik antara Kekaisaran Rusia, Perancis, Empayar Ottoman dan Kerajaan Sardinia.

Peperangan berlaku dalam cuaca yang sangat sejuk. Setiap hari setelah pulang dari medan perang, James bersama-sama  anak buahnya  akan kembali ke kapal, untuk beristirahat dan makan malam. James dan anak buahnya selalu akan mengenakan sweater yang berbentuk seperti baju  hujan  atau coat yang terbuka di hadapannya sewaktu menikmati hidangan makan malam untuk melindungi daripada cuaca sejuk.

Mengikut cerita, kononnya bentuk model cardigan yang popular di pasaran sekarang adalah hasil dari keinginan James Thomas Brudenell untuk menggunakan sweater tanpa  merosakkan bentuk rambutnya. Jika memakai sweater, biasanya pemakai akan menyarung dari kepala  namun dengan  cardigan ianya  lebih mudah untuk dipakai tanpa menyarungnya dari kepala. Cardigan boleh direkabentuk dengan butang atau zip sehingga memudahkan penggunaannya.

No comments:

Post a Comment