Thursday, 6 March 2014

Jahit Kebaya Nyonya



Kebaya Nyonya tetap ada peminatnya walaupun fesyen ini sudah lama diperkenalkan seperti mana tempahan dari pelanggan saya seperti di atas. Walaupun nampak simple tetapi bila hendak menjahit pening juga nak memikirkan bagaimana cara untuk mendapat corak bunga seperti yang dikehendaki. Bila sudah menjadi baju barulah nampak corak bunganya yang menarik.

Pada entri saya yang lepas berkaitan dengan jahit kebaya, saya ada sentuh sedikit tentang kebaya nyonya ini seperti berikut.

Ada satu lagi pakaian yang mirip dengan kebaya yang popular iaitu pakaian kebaya Nyonya. Dinamakan kebaya Nyonya kerana pakaian ini mula-mula dibuat oleh keturunan Baba dan Nyonya Melaka. Pada masa itu golongan wanitanya memakai sebagai pakaian harian dan biasanya dipakai oleh mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Pakaian kebaya nyonya sudah menjadi adat resam kepada Baba dan Nyonya di Melaka sehingga menimbulkan keunikannya yang tersendiri. Pada masa sekarang kebaya nyonya tetap mempunyai peminatnya sendiri dan dipakai oleh semua golongan tidak mengira usia.

Kali ini saya salinkan satu artikel menarik yang diambil daripada pamplet Sampul Surat Hari Pertama keluaran Pos Malaysia pada 2.11.2002

Kebaya Nyonya Warisan Busana Malaysia

Tatkala kelompok Nyonya mula memakai baju panjang kapas coklat dengan potongannya seakan 'habaya' orang Arab, mereka tidak menyangka keturunan mereka akan merekabentuk pakaian yang menjadi fesyen ikutan masyarakat Malaysia hari ini.

Pemikiran kreatif serta sifat mudah menyerap dan menerapkan unsur-unsur positif kepada generasi seterusnya bagi membolehkan evolusi pakaian kebaya bertapak kukuh. Kedatangan fabrik rubia yang kembut dan berwarna-warni menjadikan pemakaian baju panjang lebih selesa berbanding dengan kain kapas tenun yang perlu dikanjikan terlebih dahulu.

Apabila kaum Nyonya generasi baru ini didedahkan kepada kemeja dan kain sempadan berendah Eropah, mereka telah memendekkan baju mereka ke paras pinggang dan menjahitkan sempadan yang berendah agar mereka lebih selesa tetapi tidak kurang mempersonakan dalam cuaca panas ini. Pakaian sebegini dikenali sebagai kebaya (be)rendah.

Mereka turut tertarik pada warna sarung batik yang cantik tetapi mendapati kain sempadan berendah sewarna sahaja. Justeru itu mereka meniru corak sarong dengan menyulam corak tersebut pada baju yang pendek ini dengan jarum dan benang berwarna. Dengan itu terciptalah kebaya rubia bersulam.

Pada mulanya sulaman pada kebaya memakan masa yang lama hasil sulaman tangan tetapi proses ini dipercepatkan dengan kedatangan mesin jahit. Hasil sulaman yang halus, bermutu dan eksklusif ini menjadi kebanggaan si pemakai. Motif sulaman keseluruhan diulangi beberapa kali dan diilhamkan daripada kuntum atau jambak bunga-bungaan, serangga,ikan, buah-buahan ataupun berunsurkan sesuatu tema seperti perkahwinan, perayaan Easter, keramaian, tarian tradisional dan sebagainya.

Motif utama adakalanya ditonjolkan oleh sulaman jaring bertebuk yang rumit dan mengambil masa yang lama. Kebaya sulaman padat menjadi pilihan ke majlis keramaian sementara kebaya sulaman berbiku mudah dipakaikan untuk kegunaan seharian.

Warna fabrik dan sulaman terang serta garang sesuai untuk kaum muda-mudi tetapi Nyonya yang telah meningkat usia sering memilih warna yang kurang cerah. Warna putih, biru dan hijau disimpan untuk tempoh berkabung atau bertandang ke rumah jenazah. Pakaian menarik ini secara tradisinya dipadankan dengan sarung batik bersama kasut manik dan disematkan bersama kerongsang rantai.

No comments:

Post a Comment