Monday 10 March 2014

Tempah Baju Untuk Anak-Anak


Baju baby

Baju adik

Baju kakak

Baju ibu

Memilih baju untuk anak-anak memang selalu memeningkan kepala ibu. Apabila pergi ke kedai baju bukan semua baju sesuai dan muat untuk anak-anak. Kadang-kadang boleh muat untuk si kakak, baju untuk si adik pula tidak muat. Begitulah sebaliknya. Apabila dah muat pula, warna pula tidak berkenan. 

Terpaksalah ibu pergi dari satu kedai ke satu kedai yang lain untuk memastikan semua anak-anak mendapat baju masing-masing. Akhirnya balik rumah kosong sahaja. Tak jadi beli baju. Kalau beli untuk seorang, yang lain merajuk pula. Ibulah yang terpaksa melayan karenah anak-anak. Anak-anak bukan faham bagaimana susahnya untuk dapatkan semua baju yang muat dan sesuai. 

Kadang-kadang bila susah sangat nak cari baju yang muat dan sesuai, pilihan terakhir adalah dengan menghantar kepada tailor untuk ditempah.

"Ibu nak pergi rumah Cik Ros nak tempah baju kurung"

"Kakak nak baju kurung juga"

Begitulah ragam anak-anak bila mendengar tentang baju baru. Bila si ibu menempah baju. Si anak juga akan meminta.

"Adik pun nak baju baru juga"

Si ibu tidak sampai hati sebenarnya memakai baju untuk diri sendiri sahaja. Pasti akan mendapatkan untuk anak-anak juga.

"Abang pun nak juga"

"Abang mana boleh tempah baju" si adik cepat-cepat menjawab. "Abang lelaki mana boleh pakai baju kurung".

Si abang pula akan merajuk. Si ibu tidak sampai hati sebenarnya jika ada anak-anak yang tidak mendapat baju baru. Biar semua akan mendapatnya. Si ibu perlu adil kepada anak-anak.

"Sudah! Jangan nak gaduh-gaduh lagi" Nanti ibu tanya Cik Ros. Boleh jahit baju lelaki tak.

"Ibu pun nak tempah juga baju kurung untuk ibu".

"Ibu bercadang nak nak minta Cik Ros jahit sehelai baju kurung untuk baby juga".

"Semua pergi bersiap cepat, ibu nak keluar beli kain, kemudian nak terus pergi rumah Cik Ros. Abang pun ikut sekali".

Apabila difikir-fikirkan balik tentang ragam-ragam anak-anak semasa kecil, terasa sayu pula dihati. Begitulah tanggungjawab ibu. Yang penting bagi ibu, segala yang dilakukan demi anak-anak. Anak-anaklah yang mewarnai hidup dalam keluarga. Kalau anak-anak gembira ibulah yang paling bahagia.

Sunday 9 March 2014

Kebaya Sari



Kebaya di atas adalah tempahan dari pelanggan saya dari kain sari. Entri kali ini saya ceritakan tentang fabrik sari dan juga jenis-jenis kebaya yang biasanya digayakan di negara ini.

Sari atau saree merupakan pakaian tradisional orang India yang sangat popular.

Ianya adalah sebidang fabrik atau kain berukuran lima hingga enam meter yang tidak dijahit dan dipakai oleh golongan wanita di India dan Bangladesh. Perkataan sari berasal dari bahasa Sanskrit bermaksud sejalur kain. Pemakiannya dengan cara melilit kain sari pada badan dengan bahagian hujungnya yang biasanya bersulam diletak di atas bahu kiri.

Fabrik sari diperbuat daripada sutera, kapas dan juga kombinasi kapas dan sutera. Pada masa sekarang sari juga diperbuat daripada kain sintetik di mana harganya lebih rendah berbanding dengan fabrik yang diperbuat daripada bahan sutera atau kapas. Sari yang lebih mahal diperbuat daripada sutera yang bercampur dengan emas yang menghasilkan kesan berkilau atau daripada bahan kapas yang lebih licin dan halus.

Dengan peredaran masa penggunaan kain sari telah dipelbagaikan dan disesuaikan dalam peredaran fesyen. Kini kain sari turut dijadikan sebagai baju kurung dan kebaya.

Kain sari  bersifat lembut dan sejuk bergantung kepada bahan asalnya. Kelihatan eksklusif apabila dijadikan baju kurung atau kebaya.

Selain daripada kebaya sari terdapat pelbagai jenis lagi nama kebaya yang digayakan di negara ini. Untuk melengkapkan artikel ini, saya salin semula artikel menarik berkaitan jenis-jenis kebaya seperti terdapat pada Harian Metro.

Boleh dibaca juga pada link ini: http://www.hmetro.com.my/articles/Asalusulbajukebaya/Article

Asal usul baju kebaya
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kebaya dulu hanya dikenakan golongan keluarga pemerintah di Pulau Jawa sebelum 1600. Sepanjang zaman penjajahan Belanda di kepulauan itu, wanita Eropah mula mengenakan kebaya sebagai pakaian rasmi.

Pakaian tradisional ini banyak digayakan wanita Malaysia dan Indonesia. Ia diperbuat daripada kain kasa yang dipadankan dengan kain sarung, batik atau pakaian tradisional lain seperti songket dengan motif warna-warni.

Ia dipercayai berasal dari negara Arab. Orang Arab membawa baju kebaya (bahasa Arab adalah abaya) ke Nusantara sejak ratusan tahun yang lalu. Kemudian ia mula dikenali hingga ke Melaka, Jawa, Bali, Sumatera, dan Sulawesi.

Pakaian yang mirip ‘kebaya nyonya’ dicipta kali pertama oleh masyarakat Peranakan (golongan Baba dan Nyonya) dari Melaka. Mereka menggayakannya dengan kain sarung batik dan kasut cantik bermanik.

Mengikut fakta sejarah, wanita peranakan Cina memakai kebaya nyonya sebagai pakaian harian seawal 1930-an. Kini, kebaya nyonya bukan hanya digayakan wanita Asia saja, malah ia diterima pakai di serata dunia.

Terdapat beberapa jenis kebaya yang digayakan di negara ini. Antaranya:

Baju Belah Kebaya Panjang

Menurut Portal rasmi kerajaan Negeri Johor, walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, pada acara majlis, mereka hadir dengan memakai kebaya sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau.

Pola baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Bezanya, ia berbelah dan berpesak di hadapan baju, biasanya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi.

Baju belah kebaya panjang terkenal di Melaka, Perak, Selangor, Kedah serta Perlis. Ia kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’ dan ‘kebaya panjang’.

Tradisi itu berkembang menjadi kebaya dan direka dengan potongan bahagian tangan lebih panjang, berpesak lurus di depan, berkekek serta dada berbelah yang di tutup dengan kancing atau kerongsang tiga.

Kebaya Kota Bharu

Ia dikenali sebagai Kebaya Kota Bharu kerana secara tradisinya dipakai wanita di Kota Bharu dan Kelantan. Beza antara kebaya ini dengan yang lain adalah rekaan di bahagian depan dada baju kebaya berkenaan.

Bahagian depannya mempunyai kancing, sama seperti kebaya di Pulau Jawa terutama di kota Bandung yang di panggil Kebaya Kutu Baru.

Kebaya Riau-Pahang

Di Pahang pula, baju kebayanya dikenali sebagai baju Riau-Pahang atau dipanggil kebaya Turki. Perbezaannya menerusi rekaan leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang.

Namun, bahagian depannya berbelah seperti baju kebaya yang lain, malah turut dipasang dengan kerongsang di bawah kancingnya.

Kebaya Nyonya

Fabrik yang biasa digunakan untuk membuat kebaya Nyonya dinamakan kasa rubia. Kain tenunan kosong ini jarang, ringan dan diperbuat daripada benang pintal yang halus.

Benang yang digunakan untuk menjahit fabrik biasanya benang sulaman mesin daripada kapas, sutera atau poliester. Pada zaman dulu, fabrik dan benang yang digunakan untuk membuat kebaya Nyonya daripada jenis bermutu paling tinggi dan diimport dari Eropah, sesuai dengan status Nyonya.

Kebarung

Ia gabungan singkatan perkataan baju kebaya dan baju kurung. Busana yang berasal dari Selangor sangat popular dan diminati pada awal 90-an.

Kebaya Chitty

Sama seperti wanita Selat atau Nyonya Cina, kaum India Chitty juga mempunyai kebaya. Perbezaannya ia dipakai oleh Peranakan India dan Cina.

Kebaya Chitty lebih menggunakan bahan legap berbanding kebaya Nyonya yang gemar menggunakan kain separa telus. Kebaya Chitty ada yang ditambah sulaman halus atau kosong.

Kebaya lain

Selain kebarung, Selangor juga mempunyai kebayanya sendiri. Kebaya Selangor tidak mempunyai kolar. Kebaya di Pulau Pinang popular dengan kebaya Nyonya.

Selain itu, ada kebaya daripada kaum Jawi Peranakan iaitu kaum India Muslim yang menghasilkan kebaya menggunakan kain renda dihiasi sulaman labuci berbeza.

Ada juga yang menggunakan kain sari untuk dijadikan kebaya.

Lihat entri yang lain dalam blog ini berkaitan kebaya.

Kebaya Nyonya
Kebaya dan Kebarung

Tempahan Tudung 3 Layer Putih PERKEP



Sejak entri saya berkaitan tudung 3 layer putih dipostkan dalam blog ini, ramai betul yang membuat tempahan untuk tudung putih ini. Rupa-rupanya kebanyakannya daripada ahli keluarga PERKEP. Barulah saya tahu uniform PERKEP dipakai dengan tudung putih.

Mungkin juga ada yang membuat carian google berkaitan 'tudung 3 layer putih' atau 'tempahan tudung putih' membawa kepada blog ini.  Mungkin itu sebab itu ramai yang menghubungi saya untuk membuat tempahan tudung putih ini. Alhamdulillah rezeki saya juga. Secara tidak langsung boleh juga saya berkenalan dengan ahli keluarga PERKEP ini yang membuat tempahan melalui blog ini.

Mengikut pelanggan saya, ramai lagi yang sibuk mencari tudung putih ini sempena menyambut Hari Polis nanti dalam beberapa minggu lagi. Katanya susah betul nak cari putih 3 layer di kedai-kedai tudung. Kalau dah ada pula tak berapa berkenan di hati.  Bila membuat tempahan boleh pilih nak yang singkat atau yang labuh.

PERKEP adalah ringkasan untuk Persatuan Keluarga Polis. Kepada -ahli keluarga polis yang akan meyambut Hari Polis tak lama lagi bolehlah cuba bergaya dengan tudung chiffon 3 layer putih pula.

Boleh rujuk entri saya yang lepas tentang tudung 3 layer putih di sini.

Tudung Tiga Layer Putih.

Saturday 8 March 2014

Bengkel Menjahit Tudung



Kursus menjahit tudung dijalan setiap hari sabtu. Gambar di atas adalah antara peserta yang menghadiri kelas jahit tudung yang saya jalankan pada minggu lepas dan juga minggu ini. Kelas tudung adalah untuk tudung 3 layer sahaja. Bilangan peserta memang terhad supaya setiap peserta dapat diberi perhatian.

Kebiasaannya bila sudah pandai menjahit tudung 3 layer seperti di atas, tudung-tudung lain lebih mudah untuk dijahit. Hanya dengan mengikut pola sahaja untuk mendapat bentuk tudung, tudung tersebut boleh dijahit mengikut teknik-teknik yang biasanya lebih kurang sama sahaja dengan tudung 3 layer yang saya ajarkan.

Bila datang kelas, saya akan ajar juga cara memotong shawl/selendang. Saya juga akan beri satu pola tudung percuma yang ada dalam simpanan saya. Boleh pilih sendiri pola yang berminat. Tudung yang berjaya dijahit sendiri boleh di bawa balik.

Apabila dah selesai kursus perlu mencuba jahit sendiri tudung supaya tidak lupa. Kalau masih ada yang tak berapa faham boleh datang semula, saya boleh tunjukkan atau pun telefon sahaja, InsyaAllah saya akan tunjukkan bahagian mana yang tak berapa faham tanpa apa-apa caj tambahan.

Gambar dalam blog ini saya masukkan hanya dengan kebenaran tuannya terlebih dahulu untuk dikongsi dengan pembaca sekelian. Jika sesiapa yang tak mahu gambarnya dikongsikan, jangan risau saya tak akan ambil gambar dan kongsikan dengan sesiapa.

Seronok kan boleh menjahit tudung sendiri. Apa sahaja fesyen tudung yang kita berminat boleh sahaja dijahit sendiri. Boleh buat juga untuk anak-anak, emak, adik-adik dan kawan-kawan.

Berminat boleh call/sms/whatsapp Kak Ros: 017-4315193. Siapa booking dahulu, dia akan belajar dahulu.

Saya pernah post maklumat berkaitan kursus menjahit tudung ini pada post yang lepas. Boleh rujuk kat sini untuk maklumat lanjut.

Kelas Menjahit Tudung Di Bangi

Belajar Menjahit Tudung, Datang Kelas Atau Belajar Sendiri?

Thursday 6 March 2014

Jahit Kebaya Nyonya



Kebaya Nyonya tetap ada peminatnya walaupun fesyen ini sudah lama diperkenalkan seperti mana tempahan dari pelanggan saya seperti di atas. Walaupun nampak simple tetapi bila hendak menjahit pening juga nak memikirkan bagaimana cara untuk mendapat corak bunga seperti yang dikehendaki. Bila sudah menjadi baju barulah nampak corak bunganya yang menarik.

Pada entri saya yang lepas berkaitan dengan jahit kebaya, saya ada sentuh sedikit tentang kebaya nyonya ini seperti berikut.

Ada satu lagi pakaian yang mirip dengan kebaya yang popular iaitu pakaian kebaya Nyonya. Dinamakan kebaya Nyonya kerana pakaian ini mula-mula dibuat oleh keturunan Baba dan Nyonya Melaka. Pada masa itu golongan wanitanya memakai sebagai pakaian harian dan biasanya dipakai oleh mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Pakaian kebaya nyonya sudah menjadi adat resam kepada Baba dan Nyonya di Melaka sehingga menimbulkan keunikannya yang tersendiri. Pada masa sekarang kebaya nyonya tetap mempunyai peminatnya sendiri dan dipakai oleh semua golongan tidak mengira usia.

Kali ini saya salinkan satu artikel menarik yang diambil daripada pamplet Sampul Surat Hari Pertama keluaran Pos Malaysia pada 2.11.2002

Kebaya Nyonya Warisan Busana Malaysia

Tatkala kelompok Nyonya mula memakai baju panjang kapas coklat dengan potongannya seakan 'habaya' orang Arab, mereka tidak menyangka keturunan mereka akan merekabentuk pakaian yang menjadi fesyen ikutan masyarakat Malaysia hari ini.

Pemikiran kreatif serta sifat mudah menyerap dan menerapkan unsur-unsur positif kepada generasi seterusnya bagi membolehkan evolusi pakaian kebaya bertapak kukuh. Kedatangan fabrik rubia yang kembut dan berwarna-warni menjadikan pemakaian baju panjang lebih selesa berbanding dengan kain kapas tenun yang perlu dikanjikan terlebih dahulu.

Apabila kaum Nyonya generasi baru ini didedahkan kepada kemeja dan kain sempadan berendah Eropah, mereka telah memendekkan baju mereka ke paras pinggang dan menjahitkan sempadan yang berendah agar mereka lebih selesa tetapi tidak kurang mempersonakan dalam cuaca panas ini. Pakaian sebegini dikenali sebagai kebaya (be)rendah.

Mereka turut tertarik pada warna sarung batik yang cantik tetapi mendapati kain sempadan berendah sewarna sahaja. Justeru itu mereka meniru corak sarong dengan menyulam corak tersebut pada baju yang pendek ini dengan jarum dan benang berwarna. Dengan itu terciptalah kebaya rubia bersulam.

Pada mulanya sulaman pada kebaya memakan masa yang lama hasil sulaman tangan tetapi proses ini dipercepatkan dengan kedatangan mesin jahit. Hasil sulaman yang halus, bermutu dan eksklusif ini menjadi kebanggaan si pemakai. Motif sulaman keseluruhan diulangi beberapa kali dan diilhamkan daripada kuntum atau jambak bunga-bungaan, serangga,ikan, buah-buahan ataupun berunsurkan sesuatu tema seperti perkahwinan, perayaan Easter, keramaian, tarian tradisional dan sebagainya.

Motif utama adakalanya ditonjolkan oleh sulaman jaring bertebuk yang rumit dan mengambil masa yang lama. Kebaya sulaman padat menjadi pilihan ke majlis keramaian sementara kebaya sulaman berbiku mudah dipakaikan untuk kegunaan seharian.

Warna fabrik dan sulaman terang serta garang sesuai untuk kaum muda-mudi tetapi Nyonya yang telah meningkat usia sering memilih warna yang kurang cerah. Warna putih, biru dan hijau disimpan untuk tempoh berkabung atau bertandang ke rumah jenazah. Pakaian menarik ini secara tradisinya dipadankan dengan sarung batik bersama kasut manik dan disematkan bersama kerongsang rantai.

Wednesday 5 March 2014

Jahit Cardigan


cardigan

Apabila pelanggan saya meminta untuk menjahit cardigan, saya pada mulanya ingin menolaknya kerana banyak lagi tempahan yang belum disiapkan. Apabila terus dipujuk akhirnya saya terima juga. Itu pun kerana sehelai sahaja yang minta dijahit.  Itu pun kerana dihantar bersama dengan selendang dengan kuantiti yang agak banyak untuk dijahit tepi halus.

Cardigan yang ditempah adalah jenis 'open cardigan' dengan fabrik berwarna hitam dan labuh. Cardigan labuh dan panjang menutupi punggung dan sesuai sebagai ciri-ciri cardigan muslimah. Akhirnya siap sudah cardigan tersebut dan terus mendapat idea untuk menulis entri ini berkaitan dengan cardigan.

Cardigan adalah pakaian yang dipakai pada lapisan sebelah luar baju seperti kita memakai jaket, code atau sweater. Di bahagian depannya terbuka dan boleh dikancingkan dengan butang, dizipkan, diikat dengan tali atau dengan pelbagai variasi yang lain untuk menutupnya.  Cardigan menjadi pilihan kerana   mudah untuk dipadankan dengan t-shirts, blouse, baju kurung, dress atau apa sahaja.

Terdpat pelbagai  pilihan model cardigan dengan pelbagai warna seperti seperti hitam, putih atau cokelat dan lain-lain. Cardigan juga mampu memberi kesan ramping pada tubuh jika kena dengan warna dan pilihan model cardigan. Cardigan juga boleh dipakai samada oleh lelaki atau wanita.

Terdapat banyak sebab kenapa ramai yang memilih cardigan sebagai pelengkap pakaian seharian mereka.
  • Apabila memakai cardigan seseorang itu boleh nampak bergaya.  Ianya boleh dipakai samada secara terbuka atau tertutup dengan mengenakan butang, zip, diikat dengan tali atau menggunakan tali pinggang. Jika diinginkan  penampillan gaya yang lebih kasual,  butang cardigan boleh dibiar terbuka. Jika inginkan gaya yang lebih formal,  cardigan boleh dikancing dengan butang  samada semua atau paling tidak pun  butangkan di bahagian tengah cardigan.  Cardigan juga boleh disintingkan pada bahagian lengan untuk keselesaan ketika melakukan kerja seperti menulis dan lain-lain..
  • Cardigan mempunyai  pelbagai jenis potongan sesuai dengan tubuh badan si pemakai. Terdapat juga stail dan ukuran berbeza mengikut citarasa masing-masing.
  • Cardigan direka untuk melindungi seseorang dari kedinginan terutamanya di negara-negara yang mengalami musim dingin dan bersalji. Di Malaysia cardigan boleh dipakai untuk melindungi dari kesejukan ketika cuaca sejuk, berada dalam pendingin hawa yang sejuk terutamanya bagi mereka yang bekerja di pejabat, menghadiri mesyuarat dan lain-lain.
  • Cardigan juga boleh melindungi pakaian yang dipakai daripada kekotoran seperti habuk dan lain-lain.
  • Cardigan boleh disarung di luar baju t-shirt dengan lengan pendek atau baju yang tidak berlengan. Boleh dipakai semasa di rumah ketika tiba-tiba ada tetamu datang. Pada waktu cardigan boleh disarungkan untuk melindungi pakaian yang kita yang terdedah. Jadi  di rumah pun boleh pakai cardigan.
  • Cardigan juga boleh melindungi baju yang sudah lusuh. Jika tidak ada pilihan baju lusuh dan sayang nak dibuang bolehlah dicover dengan cardigan.
  • Jika badan berisi boleh melindungi bahagian yang berisi supaya nampak lebih bergaya. Boleh menutupi bahagian yang kita tidak mahu kelihatan pada pandangan orang lain.
  • Cardigan juga boleh menjadi pakaian alternatif ketika menghadiri majlis tertentu jika tidak ada pakaian yang sesuai untuk dipakai. Dengan menutupnya dengan cardigan pemakai akan merasa lebih selesa ketika berada bersama-sama kawan sekerja di majlis atau ketika menghadiri mesyuarat dan lain-lain majlis. 
  • Cardigan boleh menjadi alternatif untuk dipakai ketika menyampai persembahan di hadapan khalayak ramai. Pemakai akan merasa lebih selesa dan yakin untuk menghadapi audience dan menyampai persembahan. Perlu ada kelainan antara penceramah dan peserta. Cardiganlah yang akan memberi kelainan.
  • Cardigan lebih fleksibel untuk digayakan dengan apa sahaja pakaian terutamanya untuk kaum wanita di mana seseorang wanita akan tampil dengan lebih mempesonakan dan menawan apabila memakai cardigan. Baju dengan potongan biasa jika dipadankan dengan cardigan boleh menjadikannya lebih menarik. Bolehlah perasan bergaya seolah-olah macam artis Korea.
  • Cardigan juga boleh bertindak sebagai aksesori tambahan dan boleh digabungkan dengan pakaian-pakaian yang lain sebagai pelengkap kepada pakaian yang sedia ada.  Bila digabungkan dengam pakaian lain, pemakai akan kelihatan lebih bergaya di mana cardigan dipakai sebagai lapisan luar dengan dress, baju kurung, gaun pendek dan sebagainya. Cardigan boleh menjadi pengganti kepada inner.
  • Cardigan dengan fabrik cotton  dan chiffon lebih sesuai dipakai untuk tempat yang bercuaca panas seperti di malaysia ini. Cotton biasanya lebih mudah menyerap peluh dan terasa sejuk dan berangin. 
  • Terdapat pelbagai model cardigan seperti  yang berlengan pendek atau panjang,  berbentuk leher bulat atau pun v-neck. Pemakai boleh memilih mengikut keselesaan, kehendak dan gaya masing-masing.
  • Apabila membeli cardigan pilihlah yang sesuai  dengan bentuk tubuh badan.  Untuk mereka yang gemuk, disarankan untuk memilih cardigan yang sedikit besar, tidak terlampau  ketat, kerana tubuh akan terlihat bulat, ketat dan sendat yang tentunya tidak manis dipandang. Untuk mereka  yang mempunyai paha dan punggung  yang besar pula, pilihlah cardigan yang panjangnya hingga menutup punggung dan bahagian di bawahnya.

Terdapat berbagai jenis cardigan.

Saya tidak perlulah meletakkan gambar untuk setiap satu kerana boleh mencari dan melihat sendiri menggunakan carian pada 'google images'.

Belted Cardigan: 

Cardigan ini lebih panjang dan terdapat ikat pinggang. Cardigan ini apabila diikat akan menampak kesan bergaya dan menawan sekali apabila dikenakan ikatan pinggang dan amat sesuai untuk wanita yang kurus.

Stripped Cardigan:  

Mempunyai motif garis atau jalur yang mampu mempunyai kesan sporty dan nampak lebih feminin. Kelihatan bergaya apabila dipadankan dengan t-shirt terutamanya kepada gadis-gadis. Dengan cardigan ini nampak lebih cool dan fashionable.

Patterned Cardigan: 

Cardigan ini dapat memberikan kesan ceria, segar dan fun kepada pemakainya. Cardigan ini juga mampu memberikan kesan lebih gemuk dan padat pada pemakainya. Guna jenis jika baju yang dipakai adalah jenis plain untuk kelihatan menarik.

Colourful Cardigan:

Pada mula cardigan datang dengan warna neutral berkecenderungan ke arah gelap. Dengan bertambahnya minat ke arah fesyen cardigan dan inovasi dari pereka fesyen, kini cardigan boleh diperolehi dengan pelbagai warna untuk menarik lebih perhatian.

Open Cardigan: 

Cardigan jenis ini terbuka di hadapannya  dan lebih panjang dan labuh. Kebiasaannya tidak mempunyai butang. Cardigan ini mampu memberi kesan kasual dan sederhana. Biasanya sesuai dipakai jika ingin bertemu pelanggan di luar pejabat atau di acara tidak terlalu resmi. Gambar yang saya tunjukkan di atas adalah contoh 'open cardigan' dari kain chiffon.

Boyfriend Cardigan: 

Cardigan yang simple dan dikhususkan kepada mereka yang inginkan kesan maskulin pada dirinnya. Sangat sesuai untuk majlis-majlis yang kasual.

Double Breasted Cardigan:

Cardigan ini terdapat dua baris kancing. Kebiasaanya model ini sering digunakan pada lapisan luar ketika berpakaian.

Dan pelbagai lagi jenis cardigan seperti Tunic Cardigan, Shawl-Collared Cardigan, Wrap Cardigan, Zipped Cardigan, Classic Cardigan, Cashmere Cardigan dan lain-lain.


Sedikit maklumat sejarah mengenai cardigan.

Mengikut sejarah, Cardigan mula diperkenalkan oleh James Thomas Brudenell, 7th Earl of Cardigan seorang Leftenan General  tentera British yang memimpin suatu perang di Eropah yang  dikenali sebagai “Crimean War”.  Perang tersebut terjadi kerana berlakunya konflik antara Kekaisaran Rusia, Perancis, Empayar Ottoman dan Kerajaan Sardinia.

Peperangan berlaku dalam cuaca yang sangat sejuk. Setiap hari setelah pulang dari medan perang, James bersama-sama  anak buahnya  akan kembali ke kapal, untuk beristirahat dan makan malam. James dan anak buahnya selalu akan mengenakan sweater yang berbentuk seperti baju  hujan  atau coat yang terbuka di hadapannya sewaktu menikmati hidangan makan malam untuk melindungi daripada cuaca sejuk.

Mengikut cerita, kononnya bentuk model cardigan yang popular di pasaran sekarang adalah hasil dari keinginan James Thomas Brudenell untuk menggunakan sweater tanpa  merosakkan bentuk rambutnya. Jika memakai sweater, biasanya pemakai akan menyarung dari kepala  namun dengan  cardigan ianya  lebih mudah untuk dipakai tanpa menyarungnya dari kepala. Cardigan boleh direkabentuk dengan butang atau zip sehingga memudahkan penggunaannya.

Tuesday 4 March 2014

Dress Terkini Untuk Dijual

Dress terkini telah dimasukkan ke Kedai Online Nash Fesyen di www.nashfesyen.com. Dress ini hasil jahitan terbaru dari saya.

Klik link berikut untuk membeli: http://www.nashfesyen.com/index.php?main_page=index&cPath=67_87

ATAU

SMS/Whatsapp Kak Ros: 017-4315193.
PM melalui facebook : https://www.facebook.com/nashfesyen

Harga dress seperti dipaparkan di bawah setiap gambar.  Kos Pos: RM6.00 (Semenanjung), RM10.00 (Sabah & Sarawak) walaupun beberapa helai dibeli.

Penghantaran menggunakan pos laju.

Sila lihat dress di bawah.

DRESS LYCRA - SIZE XL

SOLD OUT
Code: DL0001
Size: XL
Harga: RM170.00
Material : Lycra Printed
Ukuran dress adalah seperti di bawah.

DRESS LYCRA - SIZE L

SOLD OUT
Code: DL0002
Size: L
Harga: RM160.00
Material : Lycra Printed
Ukuran dress adalah seperti di bawah.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018