Tuesday, 4 February 2014

Tudung Tiga Layer Putih



Putih menjadi pilihan kali ini. Semuanya putih untuk ketiga-tiga layer. Jahit tepi halus pun nak benang putih. Katanya untuk dipakai semasa mesyuarat. Sesuai dipakai dengan uniform kerja. Tudungnya tidak berapa labuh. Size M. Labuh dari dagu 14 inci. 

Warna tudung atau pakaian yang dipilih untuk dipakai sehari-hari membawa makna tersendiri, malah ada yang menyatakan bahawa manusia boleh mengubah perasaannya dan tingkahlakunya dengan memakai warna tertentu. Kuasa warna juga secara tidak langsung menonjolkan ragam seseorang. Pilihan warna yang dibuat menunjukkan personaliti diri yang dikatakan akan mempengaruhi mood pemakai. Secara tidak langsung, warna pakaian seseorang melambangkan personaliti.

Warna putih melambangkan kesucian dan kesegaran. Ia simbol seseorang yang ingin memulakan hidup baru seperti kain kanvas yang menunggu lakaran seorang artis. Ia juga melambangkan kebersihan dan kebolehan profesional. Warna putih menjadi lambang kesucian dan  kemurniaan.

Warna putih merupakan warna asas yang belum tercemar dengan warna-warna lain. Ia memberi rasa bersih dan segar. Ia juga melambangkan keceriaan, kebersihan, kemurniaan, kesucian, keayuan, kejelasan, kesederhanaan, kecanggihan dan juga kecekapan.

Warna putih mencerminkan sifat sabar, sopan santun, rendah diri, suka menolong dan gemar berjenaka serta mudah dipujuk apabila merajuk. Juga mempunyai fikiran yang bersih iaitu tidak banyak prasangka terhadap orang lain. Perasaan hati sentiasa tenteram dan hidup bertawakal.  Putih juga melambangkan baik dan amanah. Sukakan kesederhanaan dalam kehidupan, sukakan kebebasan, mempunyai sikap berdikari dalam hidup yakni tidak suka bergantung kepada orang lain apabila melakukan sesuatu serta mempunyai sifat amanah.

Putih menjadi pilihan di mana-mana sahaja. Lihat sahaja di dinding rumah, di pejabat dan bangunan. Di hari perkahwinan persalinan pengantin dengan pakaian putih menjadi kemestian. Putih mampu menambah kemanisan dan keayuan pengantin dan menceriakan majlis raja sehari.

Warna putih juga merupakan warna perangsang, warna pencetus idea. Ada yang menyatakan hari Isnin, hari pertama mula bekerja, memakai pakaian putih mampu memberi perangsang untuk bekerja. Banyak idea akan tercetus dan kreativiti akan bercambah.

Warna putih mempunyai kesan tersendiri. Ia mampu memberi rasa anggun kepada pemakainya. Nampak eksklusif dan sangat sesuai untuk semua jenis acara resmi. Setiap pakaian yang berwarna putih biasanya padan untuk dikombinasikan dengan warna apapun. Berpakaian putih tidak kira baju atau tudung akan nampak kemas dan rapi dari segi penampilan.  

Warna putih juga dilambangkan dengan sikap suka berbelanja. Mungkin tidak begitu baik kepada peminat putih tetapi berita baik untuk tukang jahit.

No comments:

Post a Comment