Wednesday, 5 February 2014

Baju Kurung Kain Kapas






Baju kurung memang diminati oleh semua golongan wanita melayu. Tidak kira bagi mereka yang tidak bekerja, surirumah, bekerja di pejabat, pelajar kolej dan universiti sehinggalah kepada golongan professional. Sekurang-kurangnya setiap wanita melayu mempunyai simpanan baju kurung yang boleh dipakai pada bila-bila masa sahaja. Baju kurung yang merupakan pakaian tradisional sentiasa menawan untuk digayakan pada bila-bila masa dan di mana jua samada ketika bekerja di pejabat, balik kampung, menghadiri majlis kenduri, menghadiri majlis ilmu, keluar berjalan-jalan. Semuanya sesuai sekali memakai baju kurung. 

Baju kurung pesak di atas adalah tempahan dari seorang doktor pakar bius yang juga merupakan 'regular customer' saya. Lima helai semuanya. Sudah beberapa kali saya menerima tempahan menjahit ini. Fabriknya adalah dari kain kapas bercorak.

Bercakap tentang kain kapas ini memang bagi saya sebagai tukang jahit suka menjahit baju kurung dari kain kapas kerana mudah dipotong dan dijahit. Kainnya tidak licin dan mudah dipegang. 

Secara ringkasnya, kain kapas dihasilkan daripada pokok kapas yang lazimnya tumbuh di kawasan tropika dan subtropika. Di sekeliling biji kapas terdapat fiber lembut yang diproses untuk dijadikan benang. Benang-benang itulah yang digunakan bagi menghasilkan kain kapas yang lembut dan menyerap peluh.

Kapas sudah dikenali sejak ribuan tahun dahulu lagi. Sudah ditenun sejak zaman pra sejarah dan sudah dijadikan pakaian oleh orang orang-orang India kuno, Mesir dan China. Pengeluaran kapas sudah dimulakan di Mexico dan Lembah Sungai Indus sejak 5000 SM.

Ada juga sesetengah ahli sejarah mendakwa pokok berkenaan mula ditanam 7,000 tahun lalu di Mehrgarh Pakistan. Pada tahun 800 Masihi, didapati pedagang Arab mula menjual kain kapas di Eropah. Sekitar tahun 1607M pokok kapas mula ditanam di Pulau Bahamas sebelum ia berkembang ke Florida dan Virginia, Amerika Syarikat. Pokok kapas di tanam secara meluas dan menjadi perusahaan utama terutamanya di India dan Jepun.

Warna asli kapas adalah putih kekuningan dan dapat diwarnakan dengan pelbagai warna. 

Kain kapas memang sesuai dengan cuaca di negara kita yang sentiasa panas kerana ia sejuk dan mudah menyerap peluh. Sesuai walau apa pun keadaan cuaca sama ada sejuk atau panas kerana ia bersifat menghangatkan bila sejuk dan menyejukkan bila panas disebabkan sifatnya yang merupakan pengalir haba yang baik.

Antara ciri-ciri kain kapas.
  • Mempunyai keteguhan samada semasa kering atau basah.
  • Mempunyai ketahanan terhadap suhu panas dan juga cahaya matahari.
  • Pengalir haba yang baik Baju pun tak panas.
  • Mempunyai Ketahanan terhadap bahan kimia samada asid atau alkali
  • Mempunyai ketahanan terhadap mikroorganisma.
  • Sejuk, lembut dan Selesa dipakai. Kandungan lembapan 7% dan daya penyerapan 21%. Oleh sebab itu mudah menyerap peluh. Boleh mengurangkan bau badan.
  • Mempunyai sifat kenyal. Mudah renyuk. Mengecut pada cucian pertama.
  • Mudah menyerap lembapan.
  • Tiada cas elektrostatik.
  • Sesuai kepada sesiapa yang mempunyai alahan pada kulit. Dapat mengelak kulit badan daripada mengalami gatal-gatal dan ruam.

Penjagaannya pun tidak sukar dan kain kapas juga tahan lasak. Boleh dibasuh dengan tangan atau mesin basuh.  Seelok-eloknya rendam dahulu di dalam air sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Bolehlah mencuba baju kurung kain kapas untuk Hari Raya Aidilfitri nanti. 

No comments:

Post a Comment