Saturday, 12 August 2017

Hari Kidal Sedunia


Aku secara semulajadinya dilahirkan cenderung ke arah kidal. Dalam keluarga ku yang mempunyai sepuluh orang adik beradik, ayahku adalah kidal. Salah seorang daripada abangku juga kidal. Jadi tidak ramailah yang kidal dalam keluarga ku. Apabila berkahwin hanya seorang sahaja daripada anakku adalah kidal. Kidal menjadi minoriti dalam keluarga ayah ku dan keluarga ku sekarang.

Hari kidal sedunia disambut pada 13 Ogos setiap tahun. Aku tidak pernah pun peduli sebelum ini. Malahan tidak tahu pun tarikh tersebut. Apabila disebar melalui media sosial barulah aku tahu kewujudannya.

Cenderung Mengguna Tangan Kiri

Sewaktu kecil akau selalu dimarahi oleh kakak-kakak ku kerana menggunakan tangan kiri terutama ketika waktu makan. Nak buat macam mana, aku lebih selesa menggunakan tangan kiri. Terasa kekok ketika mengguna tangan kanan. Nak suap makanan pun susah hendak masuk ke mulut. Membuat kerja rumah seharian seperti menyapu sampah, bermain badminton dan banyak kerja lain aku cenderung mengguna tangan kiri.

Mengguna tangan kiri dianggap sesuatu yang buruk. Hanya perkara yang tidak elok sahaja dibuat dengan tangan kiri. Dalam Islam pun hendak memula sesuatu mesti bermula dengan kanan. Hendak makan, melangkah, memberi sedekah disuruh mengutamakan dengan kanan. Mungkin sebab itu aku dimarahi kerana menggunakan tangan kiri. Jadi terpaksa perlahan-lahan belajar makan dengan tangan kanan. Kadang-kadang tertukar juga. Lebih selesa mengguna tangan kiri sehingga kini. 

Apabila mula bersekolah aku menggunakan tangan kiri untuk menulis. Oleh kerana selalu dimarahi dan kadang-kadang diejek. Aku mula belajar mengguna tangan kanan sehinggalah dalam darjah tiga aku berjaya menulis dengan tangan kanan. Kini aku boleh menulis mengguna kedua-dua belah tangan. Sama cantik dan sama padan tulisannya. Walaubagaimana pun, pada masa sekarang aku lebih kerap menggunakan tangan kanan berbanding kiri. 

Minat aku terhadap jahitan juga memaksa aku belajar mengguna tangan kanan. Kebanyakan alatan menjahit terutamanya gunting direka untuk mereka yang menggunakan tangan kanan. Nak tak nak aku terpaksa belajar menggunting, memotong dan menjahit mengguna tangan kanan sehingga cekap. Sekarang aku tidak lagi menghadapi masalah untuk mengguna tangan kiri atau kanan.

Mengguna Kedua-Dua Belah Tangan

Orang yang cekap mengguna kedua-dua belah tangan dikenali sebagai ambidextrous. Rupanya ada beberapa tokoh yang hebat yang mempunyai keupayaan menggunakan kedua-dua belah tangan kiri dan kanan. Antaranya adalah Albert Einstein dan Leonarda da Vinci. Aku walaupun cenderung kidal tetapi keupayaan menggunakan tangan kanan bolehlah aku banggakan. 

Walaupun aku boleh menulis menggunakan kedua-dua belah tangan tetapi tidaklah boleh menulis serentak pada masa yang sama seperti Profesor Virus dalam filem Hindustan, Three Idiots.  

Kebolehan mengguna kedua-dua belah tangan banyak memberi kelebihan kepada aku ketika melakukan kerja setiap hari.

Antaranya ketika menggunting kain. Aku menggunakan tangan kanan untuk menggunting. Apabila letih aku boleh menukarnya mengguna tangan kiri.  Aku juga tidak perlu menggubah kedudukan ketika menggunting apabila perlu mengubah arah pemotongan. Aku hanya perlu menukar tangan kiri. Tak perlu bangun lagi  yang kadang-kadang menimbul kekaguman kepada pekerja-pekerja ku yang memerhati ketika menggunting.

Begitu juga ketika memasak. Aku boleh memasak serentak mengguna dua dapur. Ketika mengacau masakan aku boleh sahaja mengguna kedua-dua belah tangan ku untuk mengacau. Kelebihan ini memboleh aku melakukan beberapa kerja serentak dalam satu masa. 

Kebanyakan orang merasa kekok ketika memotong kuku ketika beralih tangan kiri dan kanan. Bagi aku biasa sahaja. Kebolehan ini sangat membantu aku.

Walau pun begitu terdapat juga kekurangan kepada aku. Aku selalu keliru antara kiri dan kanan. Semasa sekolah dahulu aktiviti yang paling aku benci adalah kawad kaki. Selalu sahaja kena denda. Apabila diberi arahan pusing ke kiri atau ke kanan. Selalu sahaja lambat dan tersilap. Di arah pusing ke kiri, aku pusing ke kanan. Begitu juga sebaliknya. 

Apabila berkahwin aku selalu duduk di hadapan ketika suami memandu. Kononnya boleh menjadi penunjuk arah tetapi akhirnya kena marah. Sampai sahaja di mana-mana simpang apabila hendak membelok selalu sahaja memberi arahan yang salah. Perlu belok ke kiri aku sebut belok ke kanan. Akhirnya terlepas jauh ke hadapan dan terpaksa pusing balik. Kadang-kadang hendak diam sahaja. Diam pun kena marah juga.

Bersyukur Dengan Apa Yang Ada

Dari segi akademik pula, aku bukanlah pelajar yang cemerlang. Belajar pun cukup-cukup makan sahaja. Mungkin fikiran aku tidak sama dengan cikgu. Di sekolah jawapan cikgu sahaja yang betul. Mungkin sebab itu aku hanya bekerja sendiri sahaja. Membuka kedai jahit. Kalau aku pandai dan belajar tinggi mungkin aku sekarang sudah bekerja makan gaji. Oleh sebab itu aku perlu bersyukur dengan apa yang ada. Kelebihan yang ada boleh digunakan untuk melakukan sesuatu yang berfaedah.

No comments:

Post a Comment