Sunday, 15 February 2015

Shawl Instant Lycra Bercorak






Menjahit perlukan kemahiran. Untuk mendapat kemahiran perlukan diulang berkali-kali tanpa jemu. Misalnya untuk menjahit kelim, jahit gulung atau jahit pleat, jika tidak dicuba berkali-kali tidak akan berjaya untuk mendapat jahitan seperti yang dikehendaki. Saya sendiri semasa mula menjahit kelim sentiasa sahaja jahitan tergelincir dan serba tidak menjadi. Frust memanjang. Apabila selalu mencubanya, menjadikan saya semakin mahir dan sekarang terasa semakin cepat dan mudah. Pekerja saya sendiri yang saya latih menjahit pleat juga semakin mahir sekarang ini. Pada mulanya memang banyak berlaku kesilapan sehingga perlu menetasnya berkali-kali.

Jika ada yang bertanya saya supaya tunjukkan tutorial bagaimana cara menjahit tepi halus, jahit kelim, pleated dan lain-lain, saya boleh tunjukkan apabila berada di hadapan mesin jahit. Selepas itu perlu praktis berkali-kali sehingga mahir. Salah seorang pekerja saya yang pada mulanya datang bekerja tidak tahu langsung menggunakan mesin jahit tepi. tetapi sekarang sudah mahir dan sudah pandai untuk menukar benang sendiri, setting mesin mengikut kesesuaian kain dan tahu untuk menyelesaikan masalah jika benang putus.

Begitu juga cara menjahit untuk sesetengah pattern tudung, cara menjahitnya tidak perlukan pola tetapi hanya perlukan sedikit pengubahsuaian semasa menjahit. Menjahit perlukan kesabaran dan ketekunan. Kreativiti untuk menghasil tudung atau pakaian dengan fesyen tertentu akan datang dengan sendiri dengan hanya sekilas pandang sahaja pada tudung atau pakaian yang ingin dijahit. Kadang-kadang dengan gambar atau contoh sahaja sudah boleh agak cara jahitannya.

Shawl instant lycra bercorak seperti di atas juga berasal dari pola yang asas sahaja. Dengan sedikit pengubahsuaian boleh menghasilkan shawl seperti yang dikehendaki. Ada beberapa tutorial yang saya tunjukkan dalam entri yang lepas boleh menjadi asas untuk menjahit tudung dan shawl sendiri.

Dalam seminggu dua ini saya amat sibuk kerana ramai pelanggan hendak ambil tudung dan baju sebelum Raya Cina.  Raya Cina tinggal beberapa hari sahaja lagi.Terpaksa sehari suntuk berada di kedai, kadang-kadang hingga ke malam. Tak menang tangan nak menepis bila ada yang bertanya bila boleh siap baju dan tudung.  Sebab itu entri blog semakin hari semakin ringkas. Tak sempat nak fikir apa yang perlu ditulis.

Raya Cina pun dan jadi macam Raya Melayu. Ramai yang nak pakai tudung dan baju baru.

No comments:

Post a Comment