Thursday, 20 February 2014

Kepentingan Testimonial Pelanggan

Testimonial 1:  tudung chiffon 3 layer putih - sedikit singkat

Testimonial 2: Tudung chiffon 4 layer labuh

Tudung chiffon 3 layer putih di atas adalah tempahan dari pelanggan saya untuk dua orang pelanggan yang berlainan. Yang pertama lebih singkat berbanding yang kedua. Kedua-duanya menyukai dan berpuas hati dengan tudung tersebut. Alhamdulillah.

Apabila mendapat testimonial-testimonial seperti di atas maka timbul idea untuk saya menulis entri ini berkaitan dengan testimonial pelanggan. Ada banyak lagi  testimonial yang lain yang saya dapat berkaitan dengan perkhidmatan menjahit yang saya lakukan dan juga blog yang saya bangunkan.

Beberapa testimonial tersebut ada yang telah saya postkan secara tidak langsung dalam entri-entri yang lepas. Ada yang menghantarnya melalui whatsapp, sms, facebook dan juga komen-komen di blog.  Mereka inilah yang akhirnya mereka ini menjadi pelanggan tetap saya. Ahamdulillah.

Testimonial adalah suatu kenyataan yang ditulis atau direkodkan sebagai perakuan sebagai sokongan kepada kredibiliti, tahap kepakaran, keperibadian, kebolehan, kelayakan untuk seseorang individu atau sesuatu syarikat setelah mereka menggunakan perkhidmatan atau produk daripada individu atau syarikat tersebut. Testimonial menunjukkan kepercayaan seseorang terhadap individu atau syarikat tersebut.

‘Don’t believe what I say, instead believe what other people say’ adalah konsep mudah untuk difahami apabila kita berbicara tentang testimonial dalam sesuatu perniagaan.

Mengapa testimonial begitu penting sekali sehingga ada syarikat yang sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit atau lebih untuk mendapat testimonial daripada pelanggan?

Katakan kita membeli sesuatu produk atau ingin mendapatkan sesuatu perkhidmtan dari sesuatu syarikat. Sebelum kita membeli produk atau mendapat perkhidmatan tersebut tentunya kita ingin melihat dahulu testimonial dari pelanggan-pelanggan yang pernah mengguna produk atau perkhidmatan tersebut.

Kita akan bertanya dengan kawan-kawan kita dahulu atau yang popular sekarang dengan mengguna 'google' untuk mengetahui baik buruknya sesuatu produk atau perkhidmatan tersebut sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Saya masih ingat lagi sewaktu masih bersekolah dahulu di mana jika saya membeli barang atau produk tertentu di kedai runcit kampung seperti minuman, ubat gigi dan sebagainya akan terdapat borang pertandingan yang menyediakan hadiah-hadiah menarik dan menggoda  untuk menarik perhatian kita menyertai pertandingan tersebut.

Setiap penyertaan pula perlu disertakan samada dengan penutup botol, bungkusan barang yang dibeli dan sebagainya. Sebelum menghantar penyertaan tersebut terdapat pula syarat-syarat di mana peserta perlu menulis beberapa patah perkataan seperti ” Saya suka menggunakan produk ini kerana …......................
di mana peserta perlu menyambungnya.

Oleh kerana teruja untuk mendapat hadiah-hadiah menarik kita akan menyambung perkataan tersebut dengan menulis perkataan yang elok-elok tentang produk tersebut dengan harapan supaya dapat memenangi hadiah-hadiah utama yang ditawarkan.

Kenapa syarikat tersebut sanggup menawarkan hadiah-hadiah tersebut? Tentunya kerana ingin melariskan produk mereka dan mendapat TESTIMONIAL dari pelanggan.

Ada juga syarikat atau individu yang menyediakan borang khas dan meminta pembeli mengisinya supaya dapat mengumpul TESTIMONIAL daripada pengguna selepas pembeli mengguna produk atau perkhidmatan yang mereka tawarkan. Begitu juga apabila peserta selesai menghadiri sesuatu kursus.

Pada masa ini di era penggunaan media sosial dan blog yang semakin meluas ini terdapat kaedah baru penganjuran pertandingan atau contest. Pada masa sekarang syarikat jualan  ini akan menaja sesuatu pertandingan atau contest dengan hadiah yang lumayan seperti tiket penerbangan, penginapan di hotel-hotel, hadiah menarik seperti ipad, telefon bimbit dan sebagainya dengan syarat peserta dikehendaki mengulas/review atau menulis artikel tentang produk atau perkhidmatan yang mereka tawarkan di blog masing-masing.

Peserta yang terdiri daripada penulis-penulis blog akan mengulas atau menulis artikel berkenaan produk dan perkhidmatan mereka di blog masing-masing di mana ulasan atau artikel yang terbaik akan memenangi hadiah istimewa. Maka ramailah penulis-penulis blog yang menyertainya dengan memberi ulasan/review yang terbaik dan menarik dengan harapan akan memenangi hadiah tersebut. Sesetengahnya tidak pernah pun membeli atau menggunakan produk atau perkhidmatan syarikat tersebut tetapi menulis artikel dengan begitu hebat sekali seolah-olah produk atau perkhidmatan syarikat tersebut yang terbaik sekali.

Apakah tujuan syarikat-syarikat tersebut menganjur pertandingan atau contest tersebut. Tentunya untuk mengumpul TESTIMONIAL dari penulis-penulis blog. Tambahan pula tulisan di blog-blog akan mudah diindek oleh 'Search Engine' seperti Google yang memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat tersebut melebihi harga hadiah-hadiah yang ditawarkan. Ini merupakan promosi percuma kepada mereka sampai bila-bila selagi tulisan tersebut tidak dipadamkan. Apabila pengguna internet menggoogle melalui internet, TESTIMONIAL ini akan meyakinkan pengguna untuk membeli produk mereka.  Apabila banyak blog menyebarkannya maka lebih yakin pembeli untuk membelinya.
 
Bagi saya tidak menjadi kesalahan menyertai pertandingan-pertandingan atau contest yang dianjurkan tetapi biarlah ulasan atau review yang diberikan itu benar-benar jujur dan ikhlas  hasil dari pengalaman sendiri menggunakan produk atau perkhidmatan tersebut.

Begitu juga dengan produk-produk yang dijual oleh ajen-ajen atau penjual-penjual online samada melalui blog, kedai online, facebook dan sebagainya seperti produk-produk kesihatan, kecantikan dan sebagainya sangat bergantung kepada TESTIMONIAL yang diberikan oleh pelanggan. Berderet-deret komen positif akan dimasukkan samada melalui facebook, blog dan sebagainya sebagai testimonial untuk melariskan produk mereka.

Testimonial yang diberikan kadang-kadang tidak masuk akal di mana sebagai contoh sesuatu produk kesihatan mampu menyembuh segala macam jenis penyakit dalam masa yang singkat. Produk kecantikan mampu mencantikkan wajah seperti bidadari dalam masa beberapa hari sahaja. Kedaan ini sehingga menyebabkan timbulnya kata-kata sinis di mana dikatakan jika untuk menyembuh penyakit tidak perlu lagi berjumpa dengan doktor bertauliah. Cukup sekadar bertanya dengan 'doktor google' atau 'doktor facebook' sahaja maka  akan terdapat testimonial berkaitan ubat-ubatan yang mampu memberi penyelesaian untuk penyakit mereka.

Lihat sahaja web-web jualan yang menjual produk-produk digital secara online seperti ebook, video dan sebagainya. Penjualnya akan meletak testimonial-testimonial dari pelanggan sebagai syarat untuk melariskan produk mereka. Strategi ini digunakan dimana  penjual akan memberikan produk mereka secara percuma dahulu kepada mereka yang sudah popular dan mereka ini dikehendaki memberi testimonial yang positif untuk  diletakkan di laman web mereka.

Lihat juga pada brosur-brosur  jualan perniagaan offline juga kita akan dapati banyak testimonial yang positif tentang produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Mengapakan TESTIMONIAL ini begitu penting sekali terutamanya kepada peniaga online? Saya senaraikan beberapa sebab yang terlintas di fikiran saya.

  • Sebelum pembeli membeli sesuatu produk terutamanya produk online, pembeli tentunya ingin memastikan penjual tidak menipu mereka. Pembeli biasnya akan membuat carian melalui ‘search engine’ seperti google. Dengan meletakkan testimonial pelanggan yang positif di blog, kedai online, web jualan dan sebagainya maka akan bertambah keyakinan pembeli untuk membeli produk tersebut.
  • Pembeli juga ingin melihat keberkesanan sesuatu produk atau perkhidmatan dahulu melalui pengalaman orang lain. Jika orang lain telah mengalami pengalaman menggunakan produk atau perkhidmatan tersebut dan terbukti berkesan maka akan bertambah keyakinan untuk membeli atau menggunakan produk tersebut.
  • Banyak cerita yang tidak enak didengar terutamanya ada peniaga online yang menipu pelanggan seperti menjual produk palsu dan lain-lain. Jadi dengan adanya testimonial dari pelanggan, keraguan itu akan secara automatik akan hilang.
  • Testimonial akan memberi reputasi dan kepercayaan kepada syarikat atau penjual dan  ini akan menarik minat pelanggan untuk membeli atau mengguna perkhidmatan yang ditawarkan.
  • Cerita dari mulut ke mulut amat penting untuk melaris sesuatu jualan. Jika ceritanya baik maka larislah produk tersebut, begitulah sebaliknya. Sekarang cerita dari blog ke blog sama pentingnya dengan cerita dari mulut ke mulut untuk melaris atau menjatuhkan sesuatu produk. Makin banyak sokongan dari blog makin terkenallah produk atau perkhidmatan tersebut.
  • Testimonial bukan setakat untuk menjual perkhidmatan atau produk tetapi juga untuk menjalin hubungan sosial yang lebih baik antara penjual dengan pelanggan. Pelanggan akan terus datang jika perkhidmatan atau produk itu baik. 
  • Testimonial boleh mempromosi bisnes kita secara percuma. Apabila produk atau perkhidmatan kita terkenal dan mempunyai kebolehpercayaaan tinggi maka makin larislah produk atau perkhidmatan kita.
  • Testimonial boleh mempengaruhi pembaca untuk melakukan pembelian. Siapa yang tidak terpengaruh apabila membaca testimonial hebat terutamanya jika ditulis pula oleh selebriti-selibriti terkenal. Ini kenapa iklan di TV sangat mahal dengan menggunakan artis yang popular pula. Semuanya kerana Testimonial. Sekarang trend terbaru dengan menggunakan blog popular untuk membuat ulasan/review sesuatu produk atau perkhidmatan. Tentunya bayarannya juga mahal kerana sekali review akan kekal disitu dan mudah diindek pula oleh 'Search Engine' seperti Google.
  • Testimonial membantu membina kepercayaan pelanggan terhadap bisnes kita. Testimonial yang baik akan menjadikan bisnes kita lebih kuat dan kukuh. Testimonial menyediakan ‘bukti sosial’ kepada pembeli untuk mempercayai bisnes kita.
  • Testimonial yang  positif dan banyak pula dari pelanggan-pelanggan kita akan mengatasi beberapa komen-komen negatif yang mungkin wujud.
  • Testimonial juga membezakan kita dengan pesaing-pesaing kita.  Jika kita mempunyai banyak testimonial yang positif, kita akan mengatasi pesaing-pesaing kita.
  • Testimonial juga boleh menjadikan kita terkenal. Jika ramai bercerita tentang produk kita maka tentunya kita akan terkenal.

Bagi saya pula sebagai tukang jahit, TESTIMONIAL dari pelanggan akan memberi motivasi dan semangat untuk terus menjalankan bisnes menjahit dan menjual pakaian ini. Begitu juga untuk menulis entri di blog ini secara berterusan. Lebih bersemangat jika ada yang menyukainya.

No comments:

Post a Comment