Wednesday, 21 June 2017

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2017/1438H


Dengan ingatan tulus ikhlas saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri minal aidin wal faizin kepada semua pembaca blog ini di mana sahaja kalian berada.


Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf, Zahir & Batin

Saturday, 17 June 2017

Nak Pakai Tudung Apa Raya Ini?


Selain baju raya, memilih tudung atau shawl yang sesuai untuk raya nanti bukan juga perkara yang mudah. Tudung atau shawl mesti sesuai dengan tema baju yang dipakai, warna kulit dan bentuk muka. Kadang-kadang sudah pergi ke semua kedai yang menjual tudung masih juga tidak sesuai. Nampak sahaja ada kedai yang menjual tudung dan shawl mesti hendak singgah, kalau-kalau terjumpa dengan tudung yang dikehendaki. Sudah puas mencari melalui google, nampak berkenan di hati tetapi rupanya produk lama, sudah tidak dijual lagi. Susahnya mencari yang sesuai.

Oleh sebab itu ada sahaja yang sanggup membeli kain sendiri dan menghantar kepada kami untuk dijahit. Ada sejauh Sabah dan Sarawak sanggup menghantar kain sendiri dan menanggung kos pos untuk mendapat tudung dan shawl yang sesuai dengan pilihan hati.

Memilih tudung untuk dipakai raya nanti memang nampak mudah di mata suami tetapi cukup memeningkan kepala isteri. Masakan tidak, kadang-kadang di malam raya pun masih hendak keluar mencari lagi.

Jadi jenis tudung apa yang sesuai dipakai? Boleh lihat pilihan di bawah.

Tudung Bawal


Tudung bawal berbentuk empat segi sama dan memang sesuai dipakai sepanjang masa. Sentiasa evergreen. Ada yang plain dan ada yang bercorak. Digemari oleh golongan remaja terutamanya anak-anak gadis. Boleh dipakai tidak kira majlis. Cuma perlu pandai melilit untuk memakainya. 

Harga ada yang murah dan ada yang mahal bergantung kepada jenis bahan kain. Semurah RM5.00 pun ada. Mampu dimiliki oleh hampir semua golongan. Jahitan tepi kain kebiasaanya adalah jahit baby seam atau jahit tepi halus. Raya nanti bolehlah cari tudung bawal jika belum jumpa lagi tudung apa nak dipakai.

Shawl


Ada pelbagai jenis shawl di pasaran. Ada yang jenis instant seperti tudung dua muka dan ada yang separuh instant. Bahan kain pula ada yang mahal seperti chiffon, moss crepe, satin dan lycra dan ada juga yang murah. Ada pelbagai bentuk yang dipotong panjang. Kebiasaaanya 2 meter atau 1,8 meter dengan kain bidang 60. Potongan begini biasanya perlu pandai melilit untuk bergaya. 

Untuk shawl instant pula sangat mudah dipakai. Sarung sahaja dan membuat sedikit adjustment sudah siap bergaya. Kadang-kadang tidak memerlukan pin atau kerongsang. Menjadi pilihan kebanyakan golongan yang suka bergaya. Kebiasaanya yang berumur  di antara 20an hingga 40an. Harganya sederhana bergantung kepada jenis bahan kain  Kami paling banyak menerima tempahan untuk shawl jenis ini. 

Sesiapa nak bergaya pada hari raya ini bolehlah cuba memakai shawl. Banyak pilihan warna yang sesuai dengan tema baju yang dipakai. 

Tudung Berawning



Tudung berawning juga boleh dikategori sebagai tudung instant. Mudah dipakai dan tidak memerlukan banyak adjustment. Ada design dua layer, 3 layer dan ada juga design dari kain lycra atau moss crepe. Sangat popular untuk golongan pertengahan dan dewasa. Ada jenis soft awning atau hard awning. Harga juga dalam kategori sederhana dan mampu dimiliki.

Tudung berlayer juga terdapat dengan pelbagai warna yang sesuai dengan tema baju. Nampak eksklusif dan berseri apabila memakai tudung ini.

Tudung lycra atau moss crepe berawning pula sesuai untuk golongan yang amat mementingkan penjagaan aurat kerana ianya tebal dan kebiasaanya labuh. Sesuai untuk pergi ke masjid dan melawat saudara mara. Ianya juga mudah dijaga kerana tahan lasak dan kadang-kadang tidak perlu digosok. Ada yang bercorak dan ada yang plain. Banyak pilihan warna dan corak yang sesuai dengan tema baju raya. Jika pening memikirkan tudung apa yang sesuai dengan tema baju. Pilihlah yang ini. Suami pasti gembira. 

Tudung dan Shawl Berserta Aksesori


Jika inginkan kelainan dan nampak mewah dan eksklusif, bolehlah pilih tudung yang terdapat aksesori tertentu seperti lace, renda, manik, batu-batu kecil, sequin, bunga dan lain-lain. Kalau rajin boleh jahit sendiri pada tudung atau shawl yang dibeli. Dari jauh sudah pasti ada yang perasan kesan dari kilauan pada aksesori yang terdapat pada tudung.

Ada juga yang mahal harganya seperti tudung atau shawl yang bertatah dengan batu swarovski. Nampak mewah dan eksklusif.  Ada yang murah seperti lace dan kuntuman bunga. 

Apa salahnya mencipta kelainan pada hari raya ini dengan mencuba tudung atau shawl yang penuh dengan perincian aksesori ini. Pasti akan mendapat perhatian saudara mara dan kawan-kawan pada hari raya nanti. Ramai yang nak bergambar bersama nanti.

Sunday, 11 June 2017

Fesyen Baju Raya Tahun Ini








Bilakah masa paling sesuai untuk bergaya seperti selebriti? Di hari-hari biasa nampak janggal pula memakai pakaian berfesyen ini. Tambahan pula jika tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Yang bekerja pula juga terasa janggal juga memakai baju berfesyen ini. Jika tempat kerja ada Majlis Jamuan Makan Malam bolehlah mencuba. Itu pun kalau ada. Dalam ekonomi sekarang ini banyak syarikat dah berjimat.

Masa yang sesuai adalah sewaktu Hari Raya. Tidak terasa janggal untuk melaram seperti selebriti kerana hampir setiap orang akan memakai baju baru. Begitu juga dengan baju berfesyen. Oleh sebab itu peluang begini tidak boleh dilepas begitu sahaja. Lagi pun sekarang ini masa untuk berkongsi dengan rakan-rakan melalui facebook, whatsapp dan instagram. 

Biar keluar duit sedikit untuk mendapat baju fesyen yang berkenan di hati. Hari raya perlu dirai dengan rasa gembira. Malulah dengan saudara mara dan kawan-kawan kalau nampak biasa-biasa sahaja di hari raya. Biarlah nampak bergaya sedikit. Pada hari tersebut boleh dikatakan semua orang akan balik kampung. Kawan-kawan yang sudah lama tak berjumpa pun akan balik juga. Sekarang pun banyak petemuan dengan kawan-kawan sekolah atau reunion diadakan. Mestilah bergaya. Nak selfie dengan kawan-kawan juga nanti.

Paling terbaik untuk mendapat baju berfesyen yang selesa dipakai adalah dengan membuat tempahan menjahit kerana ukuran sudah tentu seperti yang dikehendaki. Walaupun nampak fit dengan badan tetapi selesa dipakai. Tak apa keluar duit sedikit. Kalau boleh biarlah sedondon satu keluarga. Rasanya sudah tak sabar lagi nak balik kampung menyambut hari raya.

Walau apa pun niat sebenar untuk berhari raya di kampung adalah untuk mengukuhkan silaturahim bersama saudara mara dan kawan-kawan.

Saturday, 10 June 2017

Fesyen Baju Raya Ibu & Anak-Anak




Antara kemestian semasa hari raya adalah bergaya dengan baju raya dengan fesyen menarik. Seboleh-bolehnya biarlah sekeluarga nampak sama fesyennya. Dengan kata lain biarlah sedondon. Barulah meriah hari raya ini.Tambahan pula dengan adanya media sosial seperti facebook, instagram dan whatsapp, satu kemestian pula untuk berkongsi gambar dengan saudara mara dan rakan-rakan. Kewujudan telefon kamera pula memudahkan untuk mengambil gambar pada bila-bila masa sahaja. Jadi baju raya untuk keluarga mestilah dengan fesyen yang menarik. Lagi pun setahun sekali sahaja untuk bergaya.

Kebiasaanya setiap keluarga akan memperuntukkan budget untuk baju raya. Tidak kira yang kaya atau yang kurang berada. Mesti memakai baju baru. Inilah trend hari raya pada zaman sekarang. Semuanya perlu diabadikan untuk kenang-kenangan. 

Walaupun gambar tidak perlu disimpan lagi di dalam album. Masing-masing sudah ada pen drive atau hard disk untuk menyimpan gambar digital yang semakin banyak. Kalau tidak pun kongsi sahaja di facebook atau di instagram. Sekarang juga sudah ada pilihan untuk menyimpanya di cloud storage seperti Google Drive, Dropbox, Amazon Drive atau lain-lain yang semakin banyak di internet supaya tidak hilang. Semuanya semakin mudah pada zaman digital ini.

Oleh itu menjadi suatu kemestian untuk bergaya dengan fesyen yang menarik supaya gambar-gambar yang diambil juga nampak menarik. Lagi pun setahun sekali. Apa salah untuk bergaya. Semuanya untuk kebahagian keluarga.