Monday 17 August 2015

Reka Tudung & Shawl Sendiri




Terdapat pelbagai cara untuk mereka tudung atau shawl sendiri supaya kelihatan unik dan berlainan dari pasaran. Caranya cukup mudah tanpa perlu menghantarnya kepada tukang jahit. Boleh lakukan sendiri sahaja. Ramai yang telah melakukannya dan berjaya menjualnya dan mendapat keuntungan yang banyak. 

Kebanyakan tudung atau shawl yang terdapat di pasaran mempunyai pattern atau pola yang sama sahaja sama ada design bentuk bawal, knife cut, halfmoon, butterfly, instant shawl dan lain-lain. Boleh dibeli dengan harga yang murah di Jalan TAR, Pasar Kemboja atau dari pemborong-pemborong tudung dan shawl ini. Kemudian dengan mengguna kreativiti kita sendiri jahit atau tampalkan aksesori tambahan atau perincian pada tudung atau shawl tersebut supaya terdapat kelainan atau keunikannya sendiri. Antaranya seperti manik, sequin, batu-batu kecil, kuntuman bunga, lace, renda dan pelbagai lagi. Sekarang kita sudah berjaya menghasil produk sendiri yang berlainan dari produk yang berada di pasaran tanpa perlu menghantarnya kepada tukang jahit.

Tudung yang saya tunjukkan pada gambar di atas saya jahitkan untuk anak saya yang ingin memakai shawl pada majlis jamuan hari raya di sekolahnya pada minggu lepas. Dengan mengguna shawl instant yang sudah tersedia saya menambah dua kuntum bunga pada shawl instant tersebut. Kuntuman bunga tersebut saya beli dari kedai yang menjual alatan menjahit berdekatan dengan rumah saya. Dengan tambahan 2 kuntum bunga ini menjadikan shawl instant ini nampak berlainan dari shawl instant biasa, Simple dan mudah. Sebagai tukang jahit saya membuat sedikit kedutan pada tapak untuk bunga tersebut.

Mungkin produk ini nampak biasa sahaja dengan produk yang biasa terapat di pasaran. Tetapi jika dilihat dengan teliti dari segi bentuk bunga, cara jahitan dan susunanya akan ternampak kelainannya. 

Semakin hari semakin ramai ingin mencipta produk dan shawl mereka sendiri. Saya melihat artis popular juga mengguna cara begini. Mungkin cara inilah yang paling mudah. Tidak ada siapa yang boleh memonopoli industri ini. Trend fesyen sentiasa berubah dan berulang. Mungkin kita yang bakal mencipta fenomena sehingga mencapai titik puncak.

Thursday 13 August 2015

Cara Jahit Tudung & Shawl Carian Paling Popular


Cara jahit tudung & shawl merupakan carian keyword paling popular pengunjung yang membawa mereka ke blog ini. Carian tersebut tidak menghampakan pengujung kerana apa yang dicari terdapat dalam blog ini. Dengan keyword tersebut blog ini terus dikunjungi pengunjung sama ada pengunjung lama atau pun baru.

Apa yang saya perhatikan sesuatu blog akan mendapat trafik yang konsisten apabila blog itu boleh menjadi rujukan kepada pengunjung. Post yang mempunyai panduan, cara, tutorial dan lain-lain yang seumpama dengannya akan terus dikunjungi pengunjung. Keyword yang evergreen akan dicari sepanjang masa. Blog yang mempunyai keyword tersebut an mendapat tempat yang baik di google akan terus dikunjungi walaupun blog tersebut sudah lama tidak dikemaskini.

Mungkin bagi sesetengah orang tulisan berbentuk panduan boleh dijual dan menghasilkan keuntungan terutamanya jika dibuat dalam bentuk ebook atau buku fizikal. Bagi saya panduan percuma yang ditunjukkan di dalam blog juga boleh mendatang keuntungan dalam bentuk yang lain. Setiap satu ada kelebihan masing-masing. Saya merasakan blog saya lebih dikenali kerana terdapat beberapa panduan dan cara menjahit berbanding entri-entri saya yang lain.

Walaupun terdapat panduan menjahit yang saya masukkan dalam blog ini, masih ramai yang bertanya untuk belajar menjahit terus dengan saya. Jika pada bulan puasa yang lepas saya berhenti sekejap untuk membuka kelas menjahit tudung, sekarang saya bercadang untuk membuka semula kelas tersebut pada setiap hari sabtu. Belajar secara terus dengan pengajar lebih mudah untuk difahami terutamanya untuk perkara-perkara yang nampak sukar.

Ramai juga yang bertanya saya bagaimana cara untuk menjahit shawl instant dua muka. Insya Allah jika tidak ada aral melintang saya akan cuba masukkan dalam post yang akan datang.

Wednesday 12 August 2015

Terima Pelajar Praktikal Menjahit



Sudah dua minggu saya menerima pelajar praktikal di kedai jahit sahaja. Jika ada permohonan saya tidak akan menolak. Malahan saya memberi elaun lagi. Saya baru sahaja menambah satu lagi mesin jahit lurus di kedai saya. 

Permohonan untuk membuat praktikal  di sini diusaha sendiri oleh pelajar. Semuanya melalui carian google. Datang dari jauh untuk menjalani praktikal di sini. Mengikut pelatih saya ini akan ada lagi yang datang untuk praktikal di sini. Satu permulaan yang baik selepas yang pertama. Di samping pelatih dapat belajar di sini saya juga mendapat keuntungan. Win-win.

Minggu pertama sudah dapat mengenali jenis-jenis kain terutamanya kain untuk membuat tudung. Sudah kenal jenis-jenis kain chiffon, lycra, moss crepe, satin dan lain-lain. Dalam masa baru dua minggu sahaja sudah dapat menngguna pelbagai jenis mesin, boleh memotong kain untuk tudung dan shawl sendiri. Sudah dapat mengusai dengan baik jahit tepi, jahit kelim dan jahit lurus. Hari ini sudah dapat membuat tudung soft awning sendiri. 

Kepada Syikin ambil peluang sepanjang praktikal ini untuk belajar mengenali dan membuat pelbagai jenis fesyen tudung, shawl dan baju. Masa tiga bulan akan pantas berlalu seperti angin yang bertiup. Tanamkan minat yang mendalam. Belajarlah semahu-mahunya.Kurangkan berkhayal. Yang dikhayal tidak akan ke mana.   Belajar menjahit bukan sekadar untuk menjadi tukang jahit tetapi sebagai langkah pertama untuk menjadi usahawan yang berjaya. 

Monday 10 August 2015

Warna Warni Di Aidil Fitri 2015

Bersama kawan-kawan sekolah.

Syawal makin menghampiri ke penghujungnya. Setiap minggu ada sahaja jemputan ke rumah terbuka aidil fitri untuk meraikan bulan syawal ini. Suasana rumah terbuka yang diraikan sehingga sebulan di bulan syawal tidak pernah dirasai di zaman kanak-kanak dahulu. Paling lama pun merasai suasana aidilfitri hanya seminggu sehingga duit raya habis dibelanja atau tiada lagi kuih raya di rumah. Walaupun begitu zaman kanak-kanak tetap indah.

Cuti raya baru-baru ini singkat sahaja berada di kampung. Tidak sempat untuk berjalan jauh kerana cuti sekolah tidak panjang. Seperti biasa cuti hari raya dihabiskan dengan menziarahi sanak saudara dan berkumpul bersama kawan-kawan yang pulang ke kampung.

Minggu kedua selepas hari raya apabila pulang semula ke sini sempat juga mengadakan rumah terbuka secara ringkas dengan menjemput jiran-jiran sebelah rumah, para pekerja dan kawan-kawan yang berada di sekitar sini sahaja. Minggu-minggu seterusnya lebih banyak masa dihabiskan untuk menghadiri jemputan dari kawan-kawan pula.

Masa-masa sibuk kini kembali menjelma seperti tidak ada cuti lagi. Kedai jahit sudah beroperasi seperti biasa. Alangkah seronoknya kerana dapat menulis di blog ini lagi.

Gambar-gambar kenangan hari raya dirakam di sini supaya dapat dilihat semula di kemudian hari.






Sedih apabila terkenang kepada kakak ku yang pergi menghadap ilahi beberapa hari sebelum syawal menjelma. Al fatihah untuk Kak Mariah. Semoga tenang di sana.

Tuesday 14 July 2015

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2015/1436H


Dengan ingatan tulus ikhlas saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri minal aidin wal faidzin kepada semua pembaca blog ini di mana sahaja kalian berada. Terima kasih kepada semua yang sudi singgah ke blog ini walaupun sekejap tetap memberi makna kepada saya untuk terus mencoret sesuatu di blog ini. Semoga servis yang saya lakukan khususnya kepada pelanggan-pelanggan saya memberi keceriaan dan kenangan indah semasa menyambut hari lebaran nanti. Maaf zahir & batin saya mohon kepada semua. 

InshaAllah Kedai Jahit Nash Fesyen akan dibuka seminggu selepas hari raya ini.

Thursday 9 July 2015

Tudung Lycra Berkerongsang






Tudung lycra sesuai dipakai terutamanya semasa hari raya aidilfitri ini. Pada hari raya aidilfitri ini cuaca dijangka panas sepanjang hari. Pemilihan kain untuk tudung atau shawl yang selesa untuk dipakai sepanjang hari perlu difikirkan. Tudung yang sesuai dan tahan lasak seperti tidak mudah kedut, mudah dijaga, tidak licin dan sejuk perlu dipertimbangkan semasa menyambut tetamu  atau ketika mengunjugi saudara mara atau rakan-rakan. Tudung atau shawl mesti juga mudah dipakai tanpa perlu mengambil masa yang lama. Sifat kain lycra yang lembut, sejuk, mudah meregang, tidak licin, tidak tembus cahaya, tidak mudah berkedut dan mudah dijaga menjadi pilihan ramai untuk dibuat shawl atau tudung untuk dipakai pada hari lebaran nanti. 

Oleh sebab yang demikian antara tempahan yang paling banyak mendapat sambutan sama ada untuk dijual atau dipakai sendiri pada musim raya kali ini adalah shawl dan tudung dari material lycra dan juga moss crepe. Sifat stretchable atau mudah meregang juga sesuai untuk semua jenis bentuk muka. Ada pelanggan saya berulang kali membuat tempahan disebabkan shawl dan tudung mendapat sambutan hebat dan laris dijual. 

Lycra juga mempunyai pelbagai warna untuk disesuaikan dengan baju yang dipakai. Walaupun demikian berbanding chiffon warna kain lycra tidak begitu banyak pilihan. Saya sendiri telah mengunjungi beberapa jenis kedai kain untuk mencari beberapa warna lycra yang dikehendaki. Agak malang kerana tidak banyak pilihan warna walaupun saya mencarinya sehingga ke Jakel KL. Ini menjadi cabaran untuk memilih tudung yang sesuai dengan warna dan corak baju. 

Tudung lycra berkeronsang di atas adalah antara tudung yang sudah lama saya tunjukkan dalam blog ini. Tudung ini menggabungkan dua warna kain dari material lycra. Awning pula adalah dari jenis hard awning supaya mudah terbentuk semasa memakainya. Kemasan keliling pula saya menggunakan jahit tepi halus.

Jika ingin menjahit sendiri tudung ini boleh merujuk tutorial yang saya pernah tunjukkan dalam blog ini pada entri bertajuk Panduan Menjahit Tudung Lycra Berkerongsang.

Wednesday 8 July 2015

Tudung Twist Soft Awning







Hari raya aidilfitri akan menjelma dalam beberapa hari sahaja lagi. Sepatutnya target saya semua tempahan menjahit akan disiapkan dalam dua minggu sebelum hari raya. Saya perlu membahagi masa untuk terutama dalam dua minggu terakhir ini untuk persediaan menyambut aidilfitri terutamnya untuk siapkan baju raya untuk saya dan anak-anak. Sebaliknya semakin dekat dengan aidilfitri semakin banyak pula pertanyaaan dan tempahan yang dihantar terutamanya untuk tempahan perseorangan. 

Tudung dan shawl yang paling banyak dihantar untuk tempahan menjahit. Saya boleh menolaknya tetapi memandangkan pelanggan yang datang adalah pelanggan yang selalu datang memujuk saya untuk menerimanya saya menerimanya juga. Lagi pun masa pun masih ada dan sempat untuk siapkan tempahan. Mungkin selepas membeli baju raya dan kesukaran untuk memilih tudung yang sesuai maka pilihan tudung yang sesuai adalah dengan membeli kain dan menghantarnya untuk dijahit. 

Akhir-akhir ini juga ramai yang menghantar untuk potong labuh kain. Untuk potong labuh kain saya masih menerimanya tetapi tidak untuk repair dan kecilkan baju atau kain. 

Sekarang saya meletak target baru untuk siapkan semua tempahan iaitu sehingga ahad ini. Selepas itu saya akan berehat panjang dan balik kampung sehinggalah seminggu selepas raya akan mula beroperasi semula. Sudah ramai yang bertanya terutamanya untuk tempahan pukal shawl, tudung dan kelas menjahit.

Tudung di atas adalah tudung twist soft awning dari kain moss crepe. Saya pernah tunjukkan cara menjahit tudung labuh berdagu dalam blog ini dan caranya lebih kurang sama sahaja cuma tudung ini tanpa pelapik dagu. Boleh juga guna material lyca untuk menjahit tudung ini dan meletak pelapik dagu sebagai mana tutorial yang saya tunjukkan sebelum ini. Pelbagai warna tudung dari pelanggan saya ini memberi banyak pilihan untuk warna dan corak baju. Warna lembut yang dipilih akan memberi kecerahan kepada pemakainya sebagaimana cahaya api yang menyambar pada muka dan akan nampak berseri-seri apabila dipakai pada hari raya nanti. 

Kemasan keliling pula menggunakan jahit tepi halus untuk mendapat kesan curly tudung ini. Selain dari kemasan jahit tepi halus boleh juga menggunakan kemasan jahit coverstitch sebagaimana tutorial saya sebelum ini. 

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018