Monday 1 June 2015

Festival Floria Putrajaya 2015

Rancangan asal cuti sekolah pada kali ini adalah untuk balik kampung. Anak-anak pun suka sebab biasanya kalau balik kampung memang ada rancangan untuk berjalan-jalan. Memandangkan tempahan menjahit kali ini berlipat kali ganda banyaknya berbanding tahun lepas, rancangan balik kampung terpaksa ditangguhkan. Jika balik kampung sekurang-kurang mengambil masa empat atau lima hari. Kebanyakan pelanggan pula hendakkan tempahan disiapkan sebelum bulan puasa terutama untuk shawl dan tudung. Menghabiskan masa di kampung untuk lima hari akan menyebabkan tekanan dari pelanggan meningkat. Lebih baik berkorbankan sahaja rancangan balik kampung. Lagi pun hari raya nanti lebih kurang sebulan lebih sahaja lagi akan balik kampung juga. Menangguhkan dahulu keseronokan balik kampung adalah pilihan yang terbaik.

Untuk tidak menghampakan cuti sekolah anak-anak yang suka berjalan-jalan maka dipersetujui supaya pergi sahaja ke tempat yang mudah dan dekat dan tidak mengambil masa yang lama. Oleh yang demikian Festival Floria atau Pesta Bunga Putrajaya menjadi pilihan. Selepas ini mungkin akan berjalan-jalan di sekitar KL sahaja.

Masa untuk pergi pula adalah pada waktu malam supaya tidak panas dan mudah untuk berjalan. Disangkakan pengunjung tidak ramai kerana pergi pada hari Ahad malam Isnin kerana keesokan harinya adalah hari bekerja. Rupa-rupanya pengunjung ramai sekali sehingga terpaksa mletak kereta pada tempat yang jauh di tepi jalanraya.  Oleh kerana bertolak keluar rumah agak lewat, sampai di sana pun dalam sekitar jam 9.30 malam. Festival dibuka sehingga pukul 12 malam. Bayaran dikenakan untuk masuk iaitu dewasa RM5 dan kanak-kanak RM1. Walaupun lewat kebanyakan tempat berjaya dijelajahi.

Terdapat pelbagai jenis spesis bunga di sini berserta dengan taman-taman mini yang disusun dengan penuh kreatif dengan cahaya lampu yang bergemerlapan. Peminat-peminat bunga tentu akan berpuashati dengan segala jenis bunga dengan warna-warna yang menarik, bau-bauan bunga yang enak, bentuk bunga yang pelbagai, hiasan-hiasan yang sangat kreatif serta pelbagai tarikan yang lain.

Rakaman gambar di bawah sebagai kenangan melawat Festival Floria Putrajaya 2015.

Tiket masuk ke tapak pesta & tiket masuk ke 'Winter & Spring Garden'

Parking di tepi jalan raya. Terpaksa jalan jauh ke tapak pesta

Di dalam tapak pesta

Beberapa Gambar Menarik Semasa Kunjungan








Winter & Spring Garden. Tiket masuk RM3 seorang. 




Bahagian Pameran Bunga-Bungaan Yang Menarik.




Gambar dirakam pada waktu malam dengan kilauan cahaya lampu. Banyak gambar yang tak menjadi. Mungkin lebih menarik jika datang waktu siang. Ada pameran kucing juga di sini malangnya tidak berjumpa seekor kucing pun ketika kunjungan.

Thursday 28 May 2015

Tempahan Shawl Dari Seberang Jaya




Shawl kedut





Shawl bunga ros

Menghampiri bulan Ramadan menjadikan seoarang tukang jahit seorang yang sangat sibuk. Pada masa sekarang tempahan yang masuk tidak berhenti-henti. Tempahan shawl dari peniaga terutamanya perlu disiapkan sebelum puasa bermula kerana pada masa itu jualan mesti dilakukan awal. Tempahan baju raya pula perlu dirancang dengan betul untuk mengelaknya dari tidak siap. 

Ini menjadikan tukang jahit dalam dilema sama ada untuk terus mengambil tempahan atau berhenti dahulu sehingga tempahan yang ada berkurangan. Berhenti mengambil tempahan terutamanya dari customer baru memang merugikan kerana jika customer itu pertama kali datang mereka berpotensi menjadi customer tetap pada masa depan. Bagi customer lama pula apabila sudah biasa membuat tempahan mereka tidak mahu lagi mencari di tempat lain. Memang sukar untuk menolak. Keupayaan menjahit seorang diri memang tidak boleh kerana setiap orang hanya ada 24 jam sehari. Apabila ditolak waktu tidur dan urusan yang lain masa yang tinggal untuk menjahit hanya beberapa jam sahaja. Cara yang terbaik adalah dengan menambah lagi tukang jahit untuk membantu. Masa yang diperlukan sekarang sudah boleh digandakan. 

Cabaran baru pula akan timbul. Adakah kuliti jahitan sama seperti yang dikehendaki?  Cabaran ini akan berkurangan apabila tukang jahit yang baru tadi semakin mahir menjahit. Pada masa sekarang sudah mula berfikir untuk menambah lagi tempahan untuk diambil. Oleh itu cabaran itu akan berterusan sehinggalah apabila tempahan baru sudah tidak diambil lagi. Begitulah kitarannya.

Kadang-kadang berfikir juga tidak perlu lagi membuat promosi. Cukuplah dengan apa yang ada. Jangan jadi tamak yang akhirnya memudaratkan diri sendiri. 

Mungkin saya perlu berfikir untuk menjahit untuk produk sendiri sahaja.

Wednesday 20 May 2015

Lagi Gambar Shawl Bunga Ros







Shawl bunga ros antara shawl yang banyak tempahan sampai tak menang tangan nak buat. Gubahan bunga ros di atas adalah dari gubahan tangan saya sendiri yang tak dibeli di mana-mana. Saya kongsikan beberapa gambar yang sempat ambil. Kain chiffon untuk shawl di atas dihantar sendiri oleh pelanggan.

Tuesday 19 May 2015

Jahit Gendong Bayi

Gendong bayi atau kendong bayi atau baby sling adalah produk sampingan yang dihantar oleh pelanggan untuk dijahit di samping tudung, shawl dan baju. Jahitannya agak mudah dan tidak mengambil masa yang lama.

Kain mengendong bayi bukanlah sesuatu yang baru. Orang-orang tua pada masa dahulu telah mengamalkan mengendong bayi dengan menggunakan kain batik sambil membuat kerja. Terdapat pelbagai jenis kain mengendong bayi dan yang saya jahitkan ini menggunkan ring supaya mudah laras dan disesuaikan dengan kehendak sendiri. Mengendong lebih memudahkan pergerakan berbanding dengan mendukung kerana dengan mendukung menyebakan pergerakan yang agak terbatas.

Sambil membuat kerja sambil mengendong anak memang selalu dilakukan kerana tidak rela melihat anak menangis di samping membiar anak begitu sahaja tanpa perhatian. Hubungan anak dengan ibu pun semakin rapat apabila selalu membawanya bersama. Penyelesaiannya adalah dengan mengendongnya  ke mana sahaja sepertimana orang tua-tua kita dahulu. Oleh itu pilihan yang terbaik adalah menggunakan kain pengendong yang sesuai dan boleh laras supaya tidak mudah lenguh dan selesa kepada ibu dan anak. Apabila anak duduk diam dan nyenyak tidur, ibu pun boleh membuat pelbagai kerja.

Monday 18 May 2015

Lagi Gambar Shawl





Beberapa fesyen shawl yang ditempah oleh pelanggan. Warna cerah tetap menjadi pilihan buat mereka yang suka berfesyen. Permintaan terhadap shawl meningkat dengan ketara sekali berbanding fesyen tudung yang lain. Pelanggan saya yang menjual shawl satin pada minggu lepas kini ingin menempah lagi kerana jualannya yang laris. Bisnes shawl antara bisnes yang popular di internet.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018