Tuesday 19 May 2015

Jahit Gendong Bayi

Gendong bayi atau kendong bayi atau baby sling adalah produk sampingan yang dihantar oleh pelanggan untuk dijahit di samping tudung, shawl dan baju. Jahitannya agak mudah dan tidak mengambil masa yang lama.

Kain mengendong bayi bukanlah sesuatu yang baru. Orang-orang tua pada masa dahulu telah mengamalkan mengendong bayi dengan menggunakan kain batik sambil membuat kerja. Terdapat pelbagai jenis kain mengendong bayi dan yang saya jahitkan ini menggunkan ring supaya mudah laras dan disesuaikan dengan kehendak sendiri. Mengendong lebih memudahkan pergerakan berbanding dengan mendukung kerana dengan mendukung menyebakan pergerakan yang agak terbatas.

Sambil membuat kerja sambil mengendong anak memang selalu dilakukan kerana tidak rela melihat anak menangis di samping membiar anak begitu sahaja tanpa perhatian. Hubungan anak dengan ibu pun semakin rapat apabila selalu membawanya bersama. Penyelesaiannya adalah dengan mengendongnya  ke mana sahaja sepertimana orang tua-tua kita dahulu. Oleh itu pilihan yang terbaik adalah menggunakan kain pengendong yang sesuai dan boleh laras supaya tidak mudah lenguh dan selesa kepada ibu dan anak. Apabila anak duduk diam dan nyenyak tidur, ibu pun boleh membuat pelbagai kerja.

Monday 18 May 2015

Lagi Gambar Shawl





Beberapa fesyen shawl yang ditempah oleh pelanggan. Warna cerah tetap menjadi pilihan buat mereka yang suka berfesyen. Permintaan terhadap shawl meningkat dengan ketara sekali berbanding fesyen tudung yang lain. Pelanggan saya yang menjual shawl satin pada minggu lepas kini ingin menempah lagi kerana jualannya yang laris. Bisnes shawl antara bisnes yang popular di internet.

Sunday 17 May 2015

Tudung Untuk Pakai Di Rumah



Tudung untuk pakai di rumah atau tudung harian mestilah tudung yang simple, tidak panas dan mudah disarungkan. Kainnya mesti dari jenis yang tidak perlu diseterika, tidak mudah kedut tetapi tetap nampak kemas bila dipakai. 

Apabila berada di rumah aurat tetap perlu dijaga terutama apabila ada tetamu yang bukan muhrim bertandang, perlu berada di luar rumah untuk menyiram pokok bunga, menyidai pakaian atau membeli ikan dari penjual ikan di depan rumah. Kadang-kadang jiran-jiran mengajak datang ke rumah atau ketika ingin menghantar anak menunggu bas sekolah di tepi jalan. Mesti pakai tudung yang sesuai.

Walaupun tudung yang simple tetapi mesti kemas dan labuh dan boleh sesuaikan dengan semua jenis pakaian. Warna tudung tidak perlu terang dan tidak perlu berfesyen seperti hendak ke pejabat atau majlis. Tidak rimas dan selesa dipakai.

Oleh sebab itu saya jahitkan satu tudung seperti anak tudung tetapi lebih labuh dan berawning dengan awning jenis lembut. Kain pula saya gunakan lycra atau boleh juga gunakan cotton lycra. Cara memakainya hanya sarungkan sahaja di kepala dan kadang-kadang tidak perlu untuk melihat cermin. 

Aktiviti yang sedikit lasak seperti menyapu sampah di halaman, menyiram pokok bunga dan juga bermain badminton juga tidak menjejas kemasan tudung ini. Tudung yang saya sebutkan di atas sebenarnya adalah untuk kegunaan saya sendiri yang simple dan warna yang tidak terang. Hitam dan kelabu lebih sesuai. Tidak mudah nampak kotor.

Walaupun tudung ini untuk dipakai di rumah tetapi apabila dipakai dengan pakaian yang sesuai ianya tetap menarik jika dipakai untuk keluar berjalan-jalan atau ketika hendak ke surau atau masjid.

Apabila berada di rumah kadang-kadang tudung selalu sahaja hilang. Puas mencari. Rupa-rupanya anak-anak pun tumpang sekaki. Pakai tudung ini untuk pergi mengaji Quran atau semasa pergi ke kelas tuition. 

Sekurang-kurangnya mesti ada dua tiga helai tudung begini untuk pakai di rumah.


Thursday 14 May 2015

Baju Raya Tahun Ini


Perkara ini memang sukar jika difikirkan. Lebih sukar dari membuat keputusan untuk balik kampung. Di sebelah sana atau di sebelah sini. Masing-masing ada pendapat sendiri. Jika ada yang tidak setuju hari raya tahun ini akan menjadi tidak meriah. Tambahan pula raya tahun ini telah diputuskan untuk balik ke kampung sendiri. Keceriaan untuk beraya di kampung sendiri tidak boleh dilepas begitu sahaja. 

Perkara yang besar begini perlu difikirkan bersama-sama bersama-sama dengan ahli keluarga. Perlu dibuat kata putus dengan segera. Hari raya hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Masa semakin suntuk. Masa terbaik untuk berbincang bersama-sama  adalah di waktu malam apabila semua berada di meja makan untuk makan malam. Maka berlakulah dialog berikut dalam keluarga. 

"Ibu ada whatsapp Cik Ros tadi. Dia kata tempahan untuk hari raya sudah ditutup"

"Ibu!" "Macam mana baju raya kami" Tanya anak yang pertama.

"Jangan Risau". "Ibu dah lama booking dengan Cik Ros untuk jahit baju raya kita. Termasuk baju Melayu abah kamu."

"Sekarang ibu nak tanya pandangan kamu semua."

"Tema baju raya tahun ini. kamu semua nak pilih warna apa?"

Memang sukar membuat keputusan apabila anak-anak sudah pandai berfesyen. Masing-masing mempunyai citarasa sendiri. Tidak mahu jadi seperti tahun lepas. Ada yang tarik muka. Warna pilihan tidak dipersetujui. Keputusan akhir si bapa yang buat. Warna biru tua langsung tidak mahu. Warna hijau selalu sangat pakai. Kali ini mestilah berlainan dari tahun-tahun yang lepas.

"Apa kata tahun ini kita pilih kaler mustard. Warna gold."  Anak yang pertama memberi cadangan.

" Adik nak warna light blue." Jawab anak yang kedua. 

"Tak nak warna gold."

"Tak nak lah warna light blue dengan gold". "Pilihlah warna gray. Warna gray boleh pakai masa kat asrama nanti."

Masing-masing menegakkan pilihan masing-masing. Anak yang kecil sekali hanya diam sahaja. Tidak tahu apa-apa yang dibincangkan.

Begitulah yang selalu berlaku apabila memilih tema baju raya. Ada yang setuju. Ada yang tidak. Masing-masing dengan pilihan masing-masing. Kadang-kadang memang pening memikirkannya. Memang dah agak dah perkara begini akan berlaku.

Si bapa pula hanya diam sahaja. Buat dengar tak dengar dengan perbualan yang berlaku. Tersenyum sorang-sorang melihat telefon di tangan. 

Keputusan akhir tetap di tangan si bapa.

"Ibu dan abah sudah berbincang".

"Raya tahun ini ibu akan tempah tiga pasang baju untuk setiap seorang". 

"Cik Ros pun dah setuju untuk terima tempahan dari ibu sebab ibu dah booking awal-awal lagi."

"Cik Ros kata tempahan menjahit baju raya sekarang  SUDAH DITUTUP. "  

Alangkah senangnya kalau boleh menjahit sendiri. Berapa pasang baju pun boleh buat. Tetapi masa tidak mengizinkan. Bekerja dari pagi hingga petang memang tidak cukup masa. Kalau ada masa pun bukan pandai sangat menjahit. Rugi juga dulu-dulunya tidak mahu belajar menjahit.

"Kalau nak seorang tiga pasang baju mesti tolong ibu selalu."

"Kemas rumah, basuh pinggan, lipat baju." "Kalau tidak setiap seorang sorang sepasang sahaja."

Apabila tiba musim perayaan seperti hari raya begitulah dilema yang berlaku. Kalau tak dirancang awal-awal semua perkara menjadi kelam kabut. Dulu anak-anak kecil lagi. Tidak pandai memilih. Ikut sahaja kehendak kita. Sekarang keadaan sudah berubah. Anak-anak pun sudah pandai membuat pilihan. Yang kecil pun sudah pandai memilih. Mungkin pengaruh media sosial.

Wednesday 13 May 2015

Bergaya Dengan Shawl Satin.

Semakin ramai yang mencari shawl satin atau tudung bawal satin ini sejak popularnya drama hati perempuan. Warna yang terang dan sifatnya yang berkilauan menjadikan pemakainya sentiasa mendapat perhatian apabila digayakan semasa keluar berjalan-jalan atau semasa pergi bekerja.

Gambar di bawah adalah gambar anak saudara saya yang bermula berjinak-jinak menjual shawl setelah terpengaruh dengan blog ini. Bisnes shawl apabila kena dengan cara menjualnya mampu memberi pendapatan yang lumayana terutamanya kepada mereka yang mempunyai ramai follower di instagram, facebook atau mana-mana media sosial yang lain.







Terima kasih Ju kerana sudi kongsi gambar di blog ini. Memang nampak bergaya apabila memakain tudung bawal satin ini.

Monday 11 May 2015

Beberapa Gambar Shawl & Tudung

Ramai yang minta saya masuk lebih banyak gambar shawl dan tudung dalam satu entri supaya senang nak cari. Apabila dah terlalu banyak entri semakin sukar untuk klik setiap tajuk untuk melihat gambar shawl & tudung. Tambahan pula kalau internet slow. Loading gambar pula lambat. Tetapi nak tengok juga gambar. Kadang-kadang puas menunggu untuk membuka setiap entri.

Saya memang tidak boleh mengumpul semua gambar untuk dimasukkan dalam satu entri. Apa yang saya update berdasarkan tempahan semasa sahaja. Itu pun kalau rajin mengambil gambar. Untuk mengambil gambar pun memakan masa juga. Kadang-kadang gambar yang saya ambil sudah beberapa kali saya masukkan dalam blog ini cuma dengan cerita yang berbeza. Sebab itu kadang-kadang saya tidak perlu mengulang untuk memasuk tudung atau shawl dengan design yang sama lagi.

Untuk memastikan blog ini sentiasa berupdate saya masuk juga gambar tudung atau shawl dengan design yang sama tetapi dengan cerita yang berlainan. Ada pembaca blog ini mengambil masa sehingga sebulan untuk membaca setiap entri blog ini dengan membacanya sedikit demi sedikit kerana bekerja. Bangga juga kerana ada yang suka membaca blog ini walaupun sekadar cerita berkaitan jahit menjahit sahaja dan cerita merapu yang entah apa-apa. Saya sendiri tidak sangka dari mana idea itu datang untuk menulis. Kebanyakannya secara spontan. Dengan page view melebihi sejuta menunjukkan blog ini ada pembacanya sendiri. Terima kasih yang sudi membaca.

Banyak manfaat rupanya apabila saya mempunyai blog ini.  Semakin lama semakin ramai yang mengenali saya. Ada skawan lama menghubungi saya apabila membuat carian berkaitan tudung dan shawl di laman Google. Saya sendiri pun macam tak percaya saya ada blog ini menjadikan saya semakin sibuk setiap hari. Mengurus tempahan setiap hari dan mempunyai beberapa orang pekerja menjadikan saya bukan lagi sekadar tukang jahit tetapi sebagai seorang usahawan yang merangkak sedikit demi sedikit kerana kurang pengetahuan dan pengalaman.

Beberapa gambar shawl dan tudung yang sempat saya kongsikan di sini.












Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018