Saturday 31 January 2015

Tudung 3 Layer Dengan Jahit Tepi Pelangi


Permintaan dari pelanggan untuk kemasan tepi tudung menggunakan benang jahit tepi warna pelangi tidak menghampakan apabila melihat hasilnya. Kemasan jahit tepi pelangi ini boleh dipadankan dengan sebarang warna tudung seperti ditunjukkan pada gambar di atas untuk tudung hitam, putih dan coklat muda.

Di mana nak beli benang jahit tepi warna pelangi?

Ada jual di mana-mana kedai menjual jahit tepi. Saya sendiri membeli melalui kawan yang membelinya di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur. Baru-baru ni saya lihat di kedai menjual peralatan menjahit di Bandar Baru Bangi pun dah ada jual benang ini.

Ada yang tanya saya. Ada jual benang jahit tepi tak?

Saya tak jual benang jahit tepi tetapi saya ada mengambil upah untuk jahit tepi shawl, tudung dan lain-lain.

Friday 30 January 2015

Kebaya Tradisional


Kebaya adalah baju labuh yang mempunyai belahan di hadapan. Terdapat pelbagai nama untuk kebaya mengikut tempat dan asal-usulnya, jenis kainnya dan lain-lain. Kebaya tradisonal sudah lama dikenali di kalangan penggemar kebaya dan menjadi fesyen yang menjadi kegilaan satu masa dahulu.

Kebaya tradisional ada pelbagai fesyen dan bentuk. Juga dikenali sebagai Kebaya Kota Bharu atau kebaya lipat di kalangan tukang jahit. Jika kita lihat dalam filem-filem Melayu lama pasti akan terjumpa kebaya tradisonal ini dipakai oleh aktor wanita dalam filem tersebut. Baju kebaya tradisional ini biasanya dipakai dengan kain batik sebagai pelengkap fesyen.  

Jika emak atau datuk atau nenek kita melihat kebaya tradisional ini semula tentu terukir senyuman mengingati nostalgia lama ketika memakai kebaya tradisonal ini semasa ke majlis perkahwinan atau majlis-majlis keraian yang lain. Terkenang semula ketika iti semasa badan masih fit dan bergetah dengan potongan badan yang cantik ketika itu. Di dalam beg pakaian mesti ada sekurang-kurangnya sepasang kebaya tradisonal ini.

Baju kebaya tradisonal memang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas kerana sehingga kini masih ada yang meminatinya. Kalau dahulu digaya oleh emak dan nenek kita kini anaknya pula turut menggayakannya. Oleh sebab itu permintaan untuk menjahitnya tetap ada walaupun kebaya tradisonal ini dianggap sebagai fesyen yang sudah lama. Dengan pelbagai aksesori yang ada sekarang seperti kerongsang, bengkung dan sebagainya yang dipakai bersama-sama menjadikan pemakainya nampak elegan, anggun dan menawan sekali apabila menggayakan kabaya ini.

Untuk menjahitnya tidak begitu sukar kerana kebiasaanya setiap tukang jahit akan belajar menjahit baju kebaya ini selain baju kurung semasa belajar asas menjahit baju dahulu. Tempahan untuk menjahit baju kebaya sekarang ini kebanyakannya sekarang bersama-sama dengan kainnya sekali. 

Sudah beberapa entri mengenai kebaya yang saya sudah postkan dalam blog ini.  Boleh selak-selak semula entri-entri saya yang lepas untuk mengenali jenis-jenis kebaya yang lain.

Kak Ros boleh jahit kebaya?

InshaAllah.

Thursday 29 January 2015

Shawl Pilihan



Ada yang minta saya jahitkan shawl ini. Saya pun jahit sahajalah. Bahagian muka dijahit dengan jahitan kelim. Keliling pula dijahit dengan jahit tepi halus. Kain menggunakan kain lycra. 

Tudung nampak kedut sedikit sebab tak sempat nak seterika,


Saya pun tidak tahu apa nama shawl ini. Cara pakai pun mudah sahaja.

Wednesday 28 January 2015

Tempah Tudung Putih


Tiba-tiba tudung putih dapat perhatian. Ada banyak pertanyaan untuk membeli tudung putih. Rupa-rupanya Kerajaan Terengganu mengisytihar berkabung selama 40 hari sebagai tanda berdukacita atas kemangkatan Tengku Ampuan Intan Zaharah Almarhum Tengku Setia Raja. Kakitangan perkhidmatan awam dan berkanun bagi wanita Melayu diminta memakai selendang atau tudung putih.

Carian melalui google untuk 'tudung putih' membawa mereka kepada blog ini. Ramai yang ingin membeli tudung putih tetapi saya sendiri tidak menyimpan stock kerana tudung putih memang laris. Tak sempat nak simpan stock.  Kebiasaannya hanya ahli-ahli PERKEP yang membuat tempahan untuk tudung putih ini. Jika ada apa-apa function semakin laris tudung putih ini.


Saya memang menyimpan kain chiffon putih tetapi kali ini stock kain hanya tinggal sedikit. Terpaksa keluar mencari tambahan kain chiffon putih. Nasib baik di kedai kain ada baki beberapa meter sahaja lagi. Saya borong semua sekali untuk memenuhi tempahan tudung putih.




Adakah saya mengambil kesempatan di atas kedukaan? Tidak. Saya hanya menyediakan penyelesaian dan pilihan kepada masalah untuk mendapatkan tudung putih. Kebetulan keyword "tudung putih" untuk blog ini mendapat ranking yang baik di google. Pembeli suka, saya pun suka. Win-win.

Saya pernah menceritakan tentang 'desperate buyer' pada entri yang lepas. Apabila hati sudah teringin, segala usaha akan dilakukan untuk mendapatkannya. Di situlah tempat yang terbaik untuk menjual.

Monday 26 January 2015

Tahun 2014 Yang Ditinggalkan

Statistik blog 2014

Jika tidak kerana ada yang mengingatkan saya tentang blog ini, saya hampir tidak mempedulikannya lagi kerana kesibukan yang bertambah sejak saya membuka kedai jahit sendiri. Jika dahulu semasa menjahit di rumah saya sempat lagi mengadap komputer yang berada di rumah untuk melihat perkembangan yang berlaku. 

Kini seharian saya berada di kedai tanpa komputer di depan mata menjadi saya semakin sukar untuk update blog ini seperti selal. Walaupun saya mempunyai smart phone saya lebih selesa untuk update blog ini mengguna komputer deskstop di rumah. 

Membuka kedai menyebabkan masa menjahit saya semakin berkurangan kerana banyak masa yang diambil untuk melayan tetamu dan pelanggan yang semakin kerap datang setiap hari. Ada yang datang dari jauh semata-mata untuk berjumpa dan berbincang sahaja sebelum membuat tempahan. Jika dahulu mungkin ramai tidak begitu selesa untuk berurusan di rumah.

Tahun 2014 baru sahaja berlalu meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis yang sesetengahnya dirakam dalam blog ini untuk kenangan, rujukan dan iktibar di masa hadapan. Untunglah generasi sekarang yang mempunyai platform seperti blog untuk menulis dan merakam aktiviti harian mereka yang menjadi pengganti diari buku suatu masa dahulu. 

Walaupun blog ini berusia lebih kurang setahun enam bulan, banyak yang perlu dilihat semula untuk diperbaiki dan ditingkatkan prestasinya.

Matlamat Jangka Pendek dan Jangkan Panjang

Setahun yang lalu saya menulis mengenai matlamat yang perlu saya capai terutama dalam perniagaan menjahit yang saya jalankan. Kini saya perlu melihat semula adakah pencapaian tersebut telah saya capai atau hanya pencapaian biasa-biasa sahaja tanpa ada apa-apa peningkatan. 

Saya telah meletakkan beberapa matlamat yang perlu saya capai untuk jangka masa pendek dan jangkamasa panjang untuk perniagaan saya dan pencapaian blog ini untuk tahun 2014.

Antara matlamat tersebut adalah meningkat promosi melalui media sosial yang lain selain facebook dan blog. Saya meletakkan matlamat untuk membuka akaun instagram, twitter, pinterest dan beberapa yang lain. Saya juga ingin memperbaiki blog ini supaya nampak lebih menarik dan lebih responsif dengan grafuk dan theme yang lebih menarik. Saya juga ingin meningkatkan prestasi kedai online di www.nashfesyen.com. Intulah matlamat jangka pendek yang telah saya sasarkan.

Namun matlamat yang saya letakkan di atas tidak satu pun tercapai. Promosi yang saya lakukan sekarang hanyalah melalu blog sahaja tanpa bergantung kepada medium yang lain. Suatu pencapaian yang perlu saya dikaji dan dilihat semula.

Matlamat jangka panjang pula adalah untuk membuka kedai sendiri dan meningkatkan jenama Nash Fesyen. Walaupun matlamat ini saya letak untuk jangka masa panjang namun saya telah mencapainya lebih awal. Saya sudah memiliki kedai sendiri. Jenama Nash Fesyen juga semakin meningkat dengan carian keyword nash fesyen mengatasi keyword-keyword lain dalam carian ke blog ini.

Prestasi Blog

Daripada statistik Google Analytics pencapaian dari segi trafik tidak begitu mengecewakan. Walaupun blog ini baru berusia lebih kurang setahun enam bulan page view blog ini telah mencapai lebih dari sejuta page view tanpa banyak promosi melalui ping, blog walking, networking dan lain-lain. Kebanyakan trafik datang dari google dan pembaca senyap blog ini yang telah mengikutinya dari dahulu lagi. Purata page view untuk blog ini adalah anatara 2000 hingga 3000 setiap hari. Sesuatu pencapaian yang agak baik terutama untuk niche menjahit yang tidak semua orang meminatinya.

Dari segi bounce rate pula juga tidak mengecewakan apabila bounce rate blog ini untuk tahun 2014 adalah 2.20% yang bermaksud pengunjung yang datang ke blog ini membaca lebih daripada satu muka surat. 

Blog ini juga tidak banyak mendapat komen dari pengunjung dan tidak juga mendapat tempat dari Alexa kerana tidak menepati ciri-ciri yang diperlukan oleh Alexa. Dari segi Google Page Rank pula blog ini masih kekal pada tahap 2 kerana Google tidak mengemaskini Page Ranknya sehingga kini. 

Walau bagaimana pun pertanyaan dari pengunjung tidak pernah berkurangan setiap hari yang bertanyakan bisnes menjahit yang saya lakukan sama ada melalui whatsapp, sms, message dan lain-lain.

Keyword Blog


Blog ini telah menguasai dengan baik beberapa keyword penting berkaitan dengan bisnes shawl tudung dan juga menjahit pakaian wanita yang telah membawa pulangan yang lumayan kepada bisnes yang saya lakukan. Keyword yang melekat pada blog ini merupakan keyword yang evergreen dan dicari sepanjang masa.

Blog Yang Memberi Inspirasi


Apabila saya menulis blog ini saya mengharapkan  supaya boleh menulis bukan sahaja berkaitan dengan promosi bisnes tetapi juga memberi pengetahuan kepada pembaca dan juga memberi inspirasi kepada mereka yang berminat untuk perniagaan shawl dan tudung. 

Alhamdulillah saya mendapat begitu banyak feedback yang positif sama ada melalui whatsapp, komen message dan sebagainya. Ada antara mereka yang datang sendiri selepas membaca blog ini dan akhirnya menceburi dalam bisnes perniagaan shawl dan tudung. Saya juga mendapat feedback yang baik dari kalangan tukang jahit yang sebelum ini memerah tenaga menjahit siang dan malam dengan upah menjahit yang tidak seberapa kini telah mempelbagai sumber pendapatan mereka dan mendapat pendapatan yang lumayan.

Jika dahulu mereka hanya menjahit baju sahaja kini mula menjahit shawl dan tudung. Begitu ramai yang bertanya saya untuk membeli mesin jahit tepi halus dan ingin menawarkan servis jahit shawl dan tudung. 

Kelas menjahit tudung yang saya lakukan juga mendapat sambutan yang baik selepas mereka membaca blog ini di mana hampir setiap minggu ada sahaja kelas yang dijalankan.

Tahun 2014 Yang Ditinggalkan

Di penghujung tahun 2014 saya telah mendapat demam denggi sehingga menyebabkan aktiviti harian terganggu. Seminggu lamanya saya terpaksa berulang alik ke hospital untuk memeriksa platlet darah. Badan menjadi letih dan lesu seolah-olah virus denggi memerah daya yang ada pada saya menyebabkan aktiviti bisnes terganggu. 

Namun saya gagahi juga untuk menjahit dan menyiap beberapa tempahan pelanggan. Yang paling saya bimbang adalah masuk ke dalam wad hospital kerana ia akan menganggu urusan bisnes dan urusan harian saya. Alhamdulillah tidak berlaku.

Dugaan yang saya terima tidaklah sebesar dugaan mangsa banjir di Pantai Timur yang kehilangan tempat berlindung. Akhirnya saya pulih dan semakin bersemangat untuk melakukan kerja semula.

Tahun 2014 saya beroperasi di rumah sepenuhnya di mana begitu banyak cabaran dan keseronokan yang saya lalui sebagaimana yang telah saya ceritakan dalam entri-entri yang lepas. Kini saya beroperasi di kedai di mana rutinnya tidak sama lagi sebagaimana saya beroperasi di rumah dahulu.

Matlamat Tahun 2015


Saya akan mengembangkan bisnes menjahit saya bukan sahaja untuk tudung, shawl dan pakaian wanita tetapi juga untuk menjahit uniform, baju korporat dan juga beberapa jenis baju yang lain.

Saya juga ingin menambah satu lagi kosong di belakang pendapatan yang saya dapat sekarang. 

InsyaAllah tahun 2015 akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Saya amat yakin sekali.

Tuesday 23 December 2014

Tudung Sekolah Dah Siap Jahit



Setahun yang lepas saya menulis dalam entri 'jahit  baju sekolah dan tudung sekolah' menjadikan blog ini berada di muka pertama google untuk keyword 'jahit tudung sekolah' dan juga 'jahit baju sekolah'. Begitu juga saya pernah menerbitkan entri berkaitan 'jahit lencana sekolah' juga berada di muka pertama google. Permainan keyword saya pada entri yang lepas berkaitan jahitan yang saya lakukan mendatangkan keuntungan kepada saya. Mungkin juga kerana tiada saingan terhadap keyword yang saya pilih menghasilkan sesuatu yang menguntungkan untuk bisnes saya dan menjanjikan pendapatan yang berterusan untuk perkhidmatan menjahit yang saya lakukan. 

Saya tidak perlu mencari keyword yang menjadi trend di google untuk menarik trafik kerana ia tidak mendatangkan apa-apa makna kepada blog ini. Trafik yang 'targeted' walaupun rendah lebih baik daripada trafik yang tinggi.

Musim jahit baju sekolah dan tudung sekolah berulang lagi. dan kini tempahannya lebih tinggi. Saya tidak perlu risau lagi untuk memikirkan pendapatan setiap bulan. Saya hanya perlu berfikir bagaimana hendak mengoptimasikan perkhidmatan saya ini.

Cuti sekolah tinggal beberapa hari lagi. Untuk tempahan seperti menjahit tudung dan baju sekolah, dead line sekurang-kurangnya seminggu sebelum sekolah bermula. Alhamdulillah selesai juga menjahit walaupun demam. Badan dan sendi masih terasa lemah. Kepala pula sakit tidak terkata. Tidur sepanjang hari dengan berusaha juga bangun menyiapkan tudung dalam kategori 'urgent'. Beberapa message tidak sempat jawab kerana tidak bermaya.  Beberapa tudung yang perlu dipos juga masih tertangguh.

Sebelum itu saya ke sekolah anak mengambil keputusan peperiksaan PT3 tingkatan tiga di Kuala Klawang. Apabila balik sahaja terus terasa demam sehingga ke hari ini belum pulih. Jika saya bekerja makan gaji sudah tentu saya boleh dapat MC mungkin dalam seminggu. Bekerja sendiri beginilah nasibnya. Tidak bekerja tidak ada pendapatan.

Sudah beberapa orang yang tanya untuk jahit lencana sekolah. Upahnya tidak seberapa tetapi ada sahaja duit dalam poket.

Monday 22 December 2014

Motif Bunga Menjadi Pilihan


Motif bunga pada pakaian menjadi lambang keanggunan wanita sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi kerana kecantikannya. Tidak kira sama ada pada baju, kain, tudung atau shawl ianya tetap mendapat tempat di kalangan ramai wanita. Bunga-bunga yang tercetak cantik pada kain dengan pelbagai warna menjadi pemakainya berseri-seri seperti mana bunga-bunga di taman yang indah. Keceriaan motif ini menambah lagi kepelbagaian dalam dunia fesyen.

Juga dikenali sebagai motif floral kerana berasaskan pada tumbuh-tumbuhan dan ianya dikatakan berasal dari Asia Tengah. Kain bermotif bunga juga pernah menjadi barangan mahal di Eropah kerana kesukaran mendapatkannya pada masa itu. Diperkenalkan di Eropah oleh pedagang-pedagang Inggeris, Belanda dan Portugis yang membawa pulang dari India ketika itu  Kain dari India ini dikenali sebagai kain chintz yang ditenun dengan kain kapas dan dicetak dengan motif bunga-bunga kecil pelbagai warna. 

Kain ini menjadi mahal kerana pada masa tersebut penenun dari Eropah belum mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kain chintz bermotif bunga ini. Pemerintah di  Perancis dan England pernah melarang penjualannya kerana kepopularan kain ini pada masa itu. Walaupun dilarang kain bermotif ini tetap dijual dan dipakai sehinggalah formula mencetak dan mengeluarkan kain bermotif ini ditemui barulah larangan itu ditarik balik.

Motif bunga juga terkenal di zaman Empayar Othmaniah terutamanya di kalangan golongan bangsawan di istana Turki. Pedagang dari Itali pernah membawanya pulang ke Eropah dan mendapat sambutan yang hebat di sana.

Di China dan Jepun motif bunganya adalah berasas bunga-bunga oriental dan sakura. Di Malaysia motif bunga banyak dicetak pada kain-kain batik dan mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat-peminat batik.

Corak bunga memang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Ada sahaja permintaan terhadap corak bunga ini sama ada pada shawl atau pun pakaian. 



Cara pemilihan bunga pada pakaian juga penting terutama dari segi saiz bunganya supaya tidak nampak seperti serumpun pokok bunga yang bergerak pula.    

Kenapa hari ini terasa seram sejuk hendak demam sahaja badan ini? Malam ini terpaksa tidur awal di saat masih ada baju dan tudung sekolah anak-anak yang belum siap dijahit,  Harap besok hari sembuh seperti sedia kala supaya terus dapat menjahit dan menulis di blog ini lagi.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018