Wednesday, 22 October 2014

Shawl Pilihan Pelanggan

Tempahan yang paling banyak diterima adalah jahit tepi shawl yang dihantar secara pukal. Selain daripada itu tempahan dari pelanggan untuk kegunaan sendiri sentiasa diterima.

Memang sukar untuk memenuhi permintaan yang pelbagai ini dengan design yang bermacam-macam sehinggakan kadang-kadang saya terfikir untuk menghadkan kepada fesyen-fesyen tertentu sahaja. Ada yang memujuk dan ada yang sanggup menunggu untuk minta saya jahitkan juga mengikut fesyen pilihan mereka sendiri. Kadang-kadang saya pun tidak ada idea bagaimana hendak menjahitnya kerana tidak pernah mencubanya sebelum ini. Melakar fesyen di atas kertas lebih mudah berbanding untuk menjahitnya. Perlu dicuba berkali-kali untuk mendapat design seperti yang dikehendaki.

Menjahit perlukan ketelitian, kesabaran dan fokus sepertimana memasukkan benang ke dalam lubang jarum. Jika dilakukan secara tergesa-gesa dan hendak cepat memang tidak akan berjaya. Oleh sebab itulah kadang-kadang saya menolak untuk fesyen yang rumit dan memakan masa.

Di bawah ini saya kongsikan beberapa tempahan shawl pilihan pelanggan untuk minggu ini. Shawl instant menjadi pilihan berbanding tudung 3 layer dan tudung lycra berdagu.

Shawl Instant Butterfly Berawning Putih



Shawl Instant Bunga Ros




Shawl Instant Kedut Kain Satin



Shawl Instant Syria Lipan

Hanya beberapa warna ditunjukkan di sini kerana warna-warna yang lain sudah ditujukkan pada post sebelum ini.







Tempahan sekarang ini sudah merentasi sempadan Malaysia. Ramai peminat shawl rupanya di mana-mana sahaja.

Kadang-kadang terasa juga untuk mengurangkan aktiviti blogging ini tetapi apabila melihat trafik pada blog semakin meningkat terasa sayang pula jika tidak ada entri terbaru.

Monday, 20 October 2014

Capsule Cut Shawl, Knife Cut Shawl.

Pelbagai design shawl saya terima setiap hari untuk dijahit. Ada yang menunjuk gambar,ada yang membawa contoh dan ada juga yang melakarnya dalam bentuk lukisan. Design shawl yang selalu diterima adalah seperti shawl halfmoon, shawl empat segi panjang, end curve shawl, butterfly shawl dan lain-lain. Ada juga yang menghantar kain tetapi tak tahu design shawl yang macam mana yang hendak dibuat.

Daripada design shawl ini terhasilnya pelbagai fesyen shawl yang lain bergantung kepada kreativiti masing-masing seperti jahitan manik, sequin, bunga, renda atau lace dan lain-lain. Daripada potongan asas terhasilnya pelbagai bentuk fesyen shawl.

Sudah banyak saya tunjukkan dalam blog ini pelbagai design shawl. Ada beberapa istilah atau sebutan yang biasa digunakan apabila pelanggan menghantar kain kepada saya untuk dipotong. Antara yang biasa disebut adalah seperti di bawah.

Capsule Cut Shawl

Capsule cut shawl adalah potongan shawl seperti capsule. Nama yang lain yang biasa disebut adalah oblong shawl, end curve shawl dan juga  oval shawl. Saya tunjukkan gambar di bawah.

Capsule cut shawl
Knife Cut Shawl

Ini adalah satu lagi design shawl yang popular dan selalu dihantar oleh pelanggan. Knife sut shawl adalah potongan shawl berbentuk pisau.

Knife Cut shawl

Shawl yang paling biasa dihantar kepada saya sepanjang masa dan sentiasa segar dan mendapat sambutan adalah square shawl atau shawl empat.segi. Shawl empat segi adalah berbentuk empat segi sama atau emapat segi panjang. Shawl empat segi ini tidak pernah ketinggalan zaman dan sentiasa dicari oleh ramai orang. Square shawl adalah seperti di bawah.


Shawl empat segi panjang

Shawl empat segi tepat.

Shawl yang saya tunjukkan di atas tidak memerlukan pola dan mudah untuk dipotong berbanding shawl halfmoon, shawl butterfly dan beberapa design shawl yang lain. Boleh rujuk kepada entri saya yang lepas untuk beberapa design shawl yang lain.

Ramai yang membeli pola daripada saya untuk pola shawl halfmoon, pola shawl butterfly dan beberapa pola yang lain. Siap dengan awning sekali.

"Kak Ros, saya berminat dengan bisnes shawl ini. Macam-macam idea saya dapat untuk fesyen shawl dalam blog ini sampai saya pun tak tahu dari mana nak mula."

"Banyak fesyen shawl yang saya suka"

Untuk menjual yang penting sekali, jual apa yang pembeli suka. Bukan apa yang kita suka."

Curiosity Killed The Cat

Thursday, 16 October 2014

Baju Kurung Moden, Manik dan Pesak


Sudah lama saya tak update tentang jahitan baju. Sebenarnya saya masih menerima banyak tempahan untuk jahit baju wanita seperti baju kurung, dress, jubah dan lain-lain. Berbanding menjahit baju saya lebih fokus kepada menjahit tudung dan shawl pada masa sekarang kerana lebih cepat dan mudah. Saya tidak tinggal terus untuk menjahit baju wanita. Saya masih menerima tempahan untuk baju wanita tetapi lebih kepada tempahan individu sahaja. Tidak untuk tempahan pukal buat masa ini.

Saya tidak akan tinggal terus untuk menjahit baju kerana saya mula belajar menjahit dengan baju kurung. Skil untuk menjahit baju sudah lama wujud. Pengalaman saya menjahit baju lebih lama daripada menjahit tudung dan shawl. Cuma akhir-akhir ini saya perlu lebih fokus supaya saya tidak tertekan untuk menyiapkan tempahan dari pelanggan. Fokus sangat penting supaya jahitan lebih berkualiti. Walaupun demikian saya tidak menolak terus jika ada sesiapa yang menghantar untuk tempahan menjahit baju. 

Gambar di atas adalah tempahan daripada pelanggan saya untuk sekeluarga yang akan dipakai sedondon untuk majlis kendurii. Baju di atas adalah baju kurung moden dan baju kurung pesak. Salah satu baju kurung tersebut dijahit dengan manik. 

Jika sesiapa tidak tahu perbezaan antara baju kurung moden, baju kurung pesak, baju kurung pahang dan lain-lain boleh cuba cari dalam entri saya yang lepas-lepas. Banyak saya ceritakan tentang baju kurung ini.

Boleh lihat gambar-gambar untuk baju kurung moden bermanik, baju kurung moden dan baju kurung pesak.



Baju kurung moden dengan jahitan manik pada leher dan tangan.

Baju kurung moden

Baju kurung pesak.

Saya masih menerima tempahan untuk menjahit baju wanita cuma buat masa ini saya tidak mengambilnya untuk tempahan jahit pukal. Saya perlu fokus dengan kerja saya. Saya tidak boleh jadi "Jack of all trades, master of none",  Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Wednesday, 15 October 2014

Tudung 3 Layer Labuh


Di tengah-tengah kehangatan shawl terutamanya shawl instant, tudung 3 layer tetap ada peminatnya yang tersendiri. Ada sahaja permintaan terhadap tudung ini terutamanya untuk warna-warna plain. Tudung dengan fabrik chiffon ini memang mudah untuk dipakai walaupun awningnya sedikit sukar dijaga kerana mudah terlipat dan patah jika tidak berhati-hati.

Fabrik chiffon memang sesuai untuk membuat tudung terutamanya tudung 3 layer dan juga shawl. Oleh sebab itu banyak kedai textile sekarang ini menjual fabrik chiffon. Ada yang menghubungi saya mempromosi produk chiffon masing-masing.

Di Bandar Baru Bangi, kedai kain yang selalu saya beli adalah di kedai Gio Fabrics. Fabrik chiffon yang dijual di kedai ini adalah jenis heavy chiffon sesuai sekali untuk membuat tudung dan shawl kerana kainnya yang agak tebal  Harganya pun berpatutan. Ada diskaun kalau jadi ahli. Banyak pilihan warna untuk peminat tudung dan shawl membuat pilihan.

Oleh keranan saya selalu pergi di situ, saya cuba-cuba  juga minta diskaun lebih sedikit tetapi tetap tak diberi kecuali kalau beli bergulung-gulung kain.  Memang kedekut Gio Fabrics ini walaupun dah buat promosi percuma di sini.

Di Gulatis pun ada jual fabrik chiffon tetapi harganya agak mahal. Jarang-jarang sekali saya pergi di situ.

Selalunya ada pertanyaan dekat mana nak beli kain untuk buat shawl dan tudung. Saya sudah bagi nama kedai di atas. Bolehlah singgah di sana untuk beli kain chiffon selepas itu bolehlah lajak terus ke rumah saya di Seksyen 4 Tambahan untuk jahit shawl dan tudung. Mesti text saya dulu sebelum datang kalau tidak saya tak buka pintu gate automatik kat rumah saya.

Kepada yang berminat untuk jahit sendiri tudung 3 layer ini boleh rujuk kepada entri saya yang lepas iaitu Panduan Jahit Sendiri Tudung Chiffon 3 Layer

Kalau tak yakin nak jahit sendiri boleh masuk kelas menjahit tudung 3 layer yang saya adakan setiap hari sabtu. Kena booking dulu untuk dapatkan tarikh yang sesuai kerana saya tidak ambil ramai peserta. Satu kelas dalam 2 hingga 3 orang sahaja. Siapa cepat dia yang akan dapat belajar dahulu. 
Dapat pola free lagi. Ramai yang pilih pola shawl halfmoon, pola shawl butterfly, pola tudung labuh berdagu dan lagi untuk dibawa balik dan dicuba sendiri. Kesemua empat pola saya bagi free. Saya juga tunjukkan cara nak potong shawl di akhir kelas nanti. 

Berikuat adalah beberapa  tempahan tudung 3 layer labuh dari pelanggan saya.





Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini setiap hari. Membaca tanpa jemu setiap entri di blog ini walaupun tidak ada cerita menarik. Tulisan pun kadang-kadang merapu juga ikut suka hati nak tulis. Selepas ini ingat nak buat contest di blog ini. Pemenangnya dapat hadiah tudung dan shawl.

Tuesday, 14 October 2014

Cabaran Bekerja Di Rumah


Bekerja sendiri di rumah dengan pendapatan yang lumayan memang seronok dan mengasyikkan. Itu tidak dapat dinafikan. Di kelilingi dengan segala kemudahan dan keselesaaan di rumah berserta anak-anak di depan mata memang sesuatu yang selalu diimpikan oleh setiap orang. Bebas melakukan apa sahaja tanpa ada sesiapa yang melarang. Tidak ada majikan atau boss yang menegur. Bekerja pula atas semangat dan dorongan sendiri. Siapa yang tidak mahu.

Disiplin dan pengurusan masa adalah cabaran utama apabila bekerja sendiri di rumah. Tanpa disiplin diri dan pengurusan masa yang baik boleh menyebabkan kerja yang perlu dilakukan tidak berganjak walau sedikit pun. Perkara beginilah biasanya amat mencabar dan sukar diatasi. Jika kerja tidak berjalan tidak adalah pendapatan.

Berlainan dengan bekerja makan gaji. Gaji tetap dibayar walaupun mood malas menjelma, pergi bercuti atau sakit. Tidak ada masalah. Gaji tetap dibayar setiap bulan. Jika malas dan tidak berdisiplin paling kurang pun kena tegur dengan bos sahaja.

Bekerja di rumah memang penuh cabaran dan dugaan. Amat sukar untuk mendisiplinkan diri sendiri. Walaupun tidak ada sesiapa yang menganggu tetapi untuk melaksanakan sesuatu kerja itu memang sukar tanpa kehendak dan keazaman yang tinggi. Mood yang berbeza-beza sentiasa datang dalam diri setiap hari. Kadang-kadang terasa bersemangat. Kadang-kadang sebaliknya.

Tinggal di rumah sentiasa bebas melakukan apa saja. Bukan seperti bekerja di pejabat. Semuanya sudah dirancang untuk kita. Sudah ada KPI ditetapkan untuk dicapai dalam tempoh tertentu. Ada motivasi dari dari pihak pengurusan dalam bentuk kenaikan gaji dan bonus. Semua kawan-kawan disekeliling bekerja. Jika tidak bekerja tentu akan terasa kepelikannya. Mood bekerja sentiasa wujud. Displin dipantau sepanjang masa.

Dirumah tidak ada sesiapa yang menegur. Jika hendak tidur, makan, tengok tv tiada siapa yang mengganggu. Bekerja di rumah urusan rumah tangga juga perlu difikirkan. 

Sebagai seorang yang praktikal, saya  sendiri tidak boleh lihat rumah yang bersepah. Pasti akan dicapai penyapu untuk membersih rumah. Apabila melalui dapur pula terpandang sahaja pinggan mangkuk yang tidak berbasuh, secara automatik kerja-kerja membasuh dilakukan. Buka pula peti ais jika terdapat makanan atau buah-buahan secubit dua akan dirasa juga. Lihat baju tak berbasuh terus mencapainya dan memasukkan ke dalam mesin basuh dan bermula proses membasuh baju sehingga proses menyidai. Kadang-kadang apabila teringin hendak memasak terus mencari resepi untuk memasak. Masa berjalan begitu sahaja tanpa disedari. Sedar-sedar sudah tengahari. Satu kerja bisnes pun tidak berjalan.

Begitulah yang selalu berlaku. Itu belum dikira masa untuk melipat baju yang bertimbun di depan mata. Kalau tak dilakukan sendiri siapa lagi yang hendak lakukan.

Anak-anak pula semua dah bersekolah. Persediaan untuk anak-anak bersekolah juga perlu dilakukan. Dari bersiap, menyediakan makanan sehinggalah mengambil dan menghantar perlu dilakukan. Kadang-kadang ada aktiviti ko-korikulum, kelas tambahan dan lain-lain. Habis lagi masa untuk mengambil dan menghantar.

Jika berada di rumah anak-anak yang sentiasa berada bersama ibunya memang susah hendak suruh berdikari. Semua nak harap ibunya sahaja. Sedang asyik menjahit dan melakukan kerja, anak yang kecil seperti dengki dan cemburu. Mulalah meminta buat itu dan ini. Nak minumlah, nak makanlah, nak suruh tunjukkan cara buat kerja sekolah lah dan macam-macam lagi. Terpaksa berhenti dan hilang konsentrasi melakukan kerja. Bukan sahaja anak-anak yang kecil yang besar pun sama sahaja macam cemburu sahaja apabila ibunya menjahit. Anak-anak tidak faham bahawa ibunya sedang bekerja.

Begitu banyak sekali masa dihabiskan tanpa melakukan apa-apa kerja yang produktif. Cabaran dan dugaan memang hebat. Tanpa disiplin yang tinggi dan pengurusan masa yang baik bekerja sendiri di rumah tidak akan dapat dilakukan. Berbeza dengan bekerja makan gaji sepanjang masa melakukan kerja.

Selain kerja-kerja rumah tangga dan anak-anak ada lagi dugaan yang besar sedang menanti. Di rumah ada TV, komputer, internet, katil, sofa dan segalanya yang mengundang rasa tergoda untuk menggunakannya. Melayan TV dan ineternet sahaja boleh sahaja memakan masa beberapa jam sehingga terleka dibuatnya. Jika semua ini tidak dikawal akan menyebabkan segala bekerja tidak bergerak. Bukan senang melawan godaan di sekeliling kita.

Bekerja sendiri selalu dipandang oleh keluarga yang lain sebagai mempunyai banyak masa dan kebebasan untuk pergi ke mana sahaja. Jika berlaku apa-apa kecemasan dalam keluarga, yang bekerja sendirilah yang akan dilihat dahulu. Walaupun sebenarnya kita bekerja tetapi keluarga yang lain selalunya akan memandang kita untuk membantu kononnya kerana kita bebas untuk pergi ke mana pun tanpa perlu meminta cuti. Begitu juga jika ada kenduri kendara atau majlis tertentu pasti kita mesti hadir dengan alasan kita bekerja sendiri dan banyak masa. Tidak boleh bagi alasan seperti mereka yang makan gaji kerana tidak ada cuti, kerja outstation dan sebagainya.

Apabila semakin lama menjalankan bisnes di rumah pasti perlukan tambahan peralatan, mesin dan lain-lain untuk menanggung permintaan yang semakin meningkat. Dari tiga mesin jahit menjadi enam mesin jahit. Dari hanya satu rak untuk untuk simpan kain, benang dan lain-lain bertambah menjadi tiga rak. Dulu semuanya dapat dimuat ke dalam satu bilik. Sekarang sudah melimpah ke ruang tamu. Dahulu segala, kain, fabrik dan benang dapat dimuatkan di dalam satu rak tetapi sekarang sudah tidak cukup ruang lagi . Kadang-kadang sehingga perlu meletak di atas lantai ruang tamu. Ruang rumah semakin sempit. Segala kain, baju, shawl dan tudung yang sudah siap sudah mula diletak di merata tempat. Kekemasan di rumah tidak seperti dahulu lagi. Keselesaan untuk bersantai semakin kurang di rumah sendiri. Suatu cabaran yang besar untuk menyimpan stok.

Semakin bisnes berkembang perlu ada pekerja. Ketidakselesaan tetap wujud walaupun hanya bekerja dalam bilik menjahit. Begitu juga dengan pelanggan yang datang ke rumah. Ketidakselesaan untuk masuk ke rumah akan tetap terasa walaupun rumah sudah dijadikan seperti tempat kerja.

Bekerja di rumah juga segala keputusan perlu dilakukan sendiri. Tidak ada mesyuarat untuk membincang dan mengambil kata putus. Hanya rujukan kepada suami sahaja tetapi suami juga sibuk dengan urusan kerjanya sendiri.

Bekerja di rumah seperti melakukan kerja sepanjang masa. Jika bekerja di pejabat dari pukul 8 hingga 5 petang sahaja dan selepas itu boleh balik dan berehat di rumah. Habis kerja boleh tutup pejabat dan melupai segala kerja yang dilakukan. Rumah pula tidak boleh ditutup. Pelanggan dan tetamu boleh datang bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu.Apabila datang mesti menjemputnya masuk. Tidak boleh menolak pelanggan yang datang. Bekerja sendiri pelanggan perlu diutamakan.

Kerja sendiri di rumah memang banyak cabaran dan dugaannya. Perlu ada jadual kerja yang perlu dipatuhi, pengurusan masa yang baik dan disiplin diri yang tinggi.

Mungkin sudah sampai masanya aku perlu melangkah lebih jauh ke hadapan. Meninggal keselesaan bekerja di rumah dan mencari tapak dan lokasi baru untuk beroperasi. Tidak salah berangan-angan dan berkhayal jika angan-angan dan khayalan itu sesuatu yag boleh dicapai.

Monday, 13 October 2014

Tempahan Tudung Instant Syria Lipan.



Ada permintaan dari pelanggan untuk tudung instant syria lipan ini selepas melihat entri tudung syria lipan yang postkan pada entri yang lepas. Ada sedikit komen pada tudung syria lipan yang saya postkan dahulu. Katanya tudung syria lipan yang saya postkan dahulu dandanannya tidak begitu bersilang seperti dandanan yang selalu dibuat pada rambut. Selepas melihat contoh yang diberi saya membuat sedikit pengubahsuaian pada jahitan dandanan lipan tersebut supaya nampak lebih kemas seperti bentuk tulang ikan.  Hasilnya adalah seperti di atas. Boleh lihat perbezaannya dengan entri yang terdahulu walaupun tidak begitu ketara.

Berbanding gambar syria lipan yang saya post pada entri yang lepas kali ini ada perbezaan pada dandanan yang dibuat. seperti gambar di atas. Nampaknya pelanggan saya berpuas hati dan membuat tempahan dalam pelbagai warna.

Saya pun tak nak tulis entri yang panjang-panjang. Cukup sahaja dengan saya tunjukkan gambar. Sudah beberapa malam tidur lewat untuk siapkan tempahan pelanggan. Sudah terasa mengantuk, Esok perlu sambung lagi kerja yang sentiasa urgent setiap hari. 

Gambar di bawah adalah pelbagai warna tudung instant syria lipan untuk tatapan semua yang mengikuti blog ini.





















Saya cuba update blog ini secara konsisten setiap hari tetapi kadang-kadang gagal juga kerana memberi perhatian kepada perkara lain yang lebih utama. Menulis blog juga perlukan disiplin.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2017