Monday 17 February 2014

Lagi Tudung Untuk Hari Jadi Emak

Tudung ini untuk harijadi emak. Pelanggan dari Bangi.


Pelanggan ini pula membuat tempahan untuk emak di Sarawak


Tudung ini dari pelanggan yang sama untuk pakai sendiri.


Sejak saya postkan entri berkaitan tudung labuh untuk ibu, saya ada lagi menerima beberapa tempahan menjahit tudung sebagai hadiah untuk emak. 

Nampaknya bila saya masukkan sahaja entri berserta gambar tudung terbaru ada sahaja permintaan. Tudung chiffon tiga layer putih yang saya postkan baru-baru ini juga sudah ada dua pelanggan yang membuat tempahan. Mungkin ada kekuatan tersendiri artikel dan gambar yang saya postkan sehingga ada sahaja yang berminat.

Bila dah buat tempahan tudung semuanya nak cepat. Kadang-kadang berfikir banyak kali juga nak terima atau tak. Yang menunggu pun dah banyak. Perlu siapkan satu-satu. Berikan sedikit masa kepada saya untuk menyiapkan sesuatu tempahan. InsyaAllah, saya sedaya upaya untuk cuba siapkan dengan segera. 

Beberapa malam dah tidur lewat. Mimpi jahit tudung lagi. Kakak kat kampung pun dah merajuk. Tudung yang ditempah tak siap-siap lagi. "Awat duit kami tak laku ka?" Susah nak jawab.

InsyaAllah semua akan cuba disiap dengan secepat mungkin. Kalau ada lagi tempahan tudung untuk emak, InsyaAllah boleh terima lagi. 

Marilah sama-sama kita bacakan doa untuk ibu bapa.

Sumber grafik dari facebook. 

Tukar Awning Tudung Dah Siap


Harap pemilik tudung ini, Maria jika terbaca entri ini dapat hubungi Kak Ros kerana tukar awning tudung  Maria sudah lama siap. Kak Ros cuba hubungi Maria tetapi tidak dapat.

Kak Ros boleh dapat message dari Maria bertanyakan tudung ini tetapi bila Kak Ros reply message semula tak berjawab pula. Kak Ros juga cuba call no telefon yang diberi tetapi diberitahu nombor tidak ada dalam perkhidmatan. Dah banyak kali cuba.  Mungkin telefon ada masalah.

Kak Ros juga tak ada email dan juga facebook Maria. Harap post ini dapat membantu.

Terima kasih.

Sunday 16 February 2014

Jubah, Blouse, Dress dan Baju Kurung Untuk Pelanggan

Hari ini tak nak tulis cerita panjang-panjang. Cukuplah nak tunjukkan gambar beberapa tudung, shawljubah dress, blouse dan baju kurung yang berjaya disiapkan dalam beberapa hari ini seperti mana yang ditempah oleh pelanggan.

Ungkapan popular "A picture is worth a thousand words" cukup untuk mentafsirkan dan menggambarkan tudung dan baju yang sebagaimana menjadi pilihan pelanggan. Bukan semua orang suka membaca. Ada yang nak tengok gambar sahaja. Ada yang suka cerita. Ada yang suka kedua-dua sekali. Ikut minat masing-masing. Yang terbaik adalah mereka yang suka berfikir apabila melihat sesuatu ada membaca sesuatu.

Bagi pengiklan dan penjual online pula gambar atau imej yang cantik dan menarik amat penting untuk memukau pelanggan sehingga menjadikan pelanggan rasa tidak senang duduk dan termimpi-mimpi untuk mendapatkan produk tersebut.

Bagi saya pula yang masih belajar ilmu edit mengedit ini dan mengambil gambar secara profesional ini cukuplah untuk menunjukkan gambar hasil jahitan yang saya siapkan. Gambar yang diambil tanpa edit dan hanya menggunakan patung sebagai model. Kalau ikut hati memang macam-macam nak belajar. Mungkin juga perlu fikirkan untuk 'outsource' sahaja benda-benda macam ni. Nantilah bila dah maju nanti.

Kalau dulu gambar-gambar yang saya ambil berlatar belakang warna putih sebab dinding rumah lama warna putih, sekarang warna kuning pula sebab dirumah baru sekarang dindingnya warna kuning. Kalau nak ambil gambar dengan latarbelakang putih juga mungkin perlu beli skrin putih yang boleh diletakkan sebagai latarbelakang.

Bila dah mula menaip, mulalah nak tulis panjang-panjang. Cukuplah setakat ini dan nikmati hasil jahitan yang saya sempat siapkan dalam beberapa hari ini.

Shawl Instant Dengan Bunga Ros













Thursday 13 February 2014

Tudung Labuh Untuk Pelajar Tahfiz



Hari itu saya didatangi tetamu istimewa. Ustaz datang bersama isteri untuk menempah tudung. Tudung labuh warna hitam untuk pelajar-pelajar tahfiz di sekolah kelolaan ustaz di Semenyih. 

Sehari sebelum itu ustaz dan isteri sudah pun datang tetapi saya tiada di rumah. Saya ke Kajang untuk menukar talian telefon dari Maxis ke Celcom. Talian Maxis selalu ada masalah menyebabkan saya tidak boleh menjawab message sms yang masuk dan membuat panggilan. Nasib baik melalui Whatsapp masih boleh menjawab message mengguna talian Unifi di rumah. Saya tidak boleh membalas sebarang panggilan dan message jika berada di luar rumah.

Tudung yang ditempah adalah dari kain lycra hitam yang dibawa sendiri dengan berpelapik dagu dan berawning lembut. Saya berjanji dalam tempoh sebulan cuba siapkan. Minggu tersebut juga adalah minggu yang sibuk kerana saya dalam persiapan mengangkat barang untuk berpindah ke rumah baru.

Alhamdulillah rezeki memang murah akhir-akhir ini. Banyak sekali tempahan dari jenis tudung berdagu, tudung twist dan juga tudung syria yang semuanya bersaiz labuh dari kain lycra sejak saya postkan entri yang berkaitan. Rupanya tudung begini begitu mendapat sambutan di sekitar Bandar Baru Bangi ini. 

Akhir-akhir ini memang ramai tetamu yang datang ke rumah. Dari pagi hinggalah ke malam. Semua datang untuk membuat tempahan tudung, shawl dan juga baju. Yang datang terus sahaja tanpa beritahu dahulu pun ada. Memang susah nak tolak jika tetamu datang membawa kain ke rumah.

Menjahit seharian memang terasa letih. Kadang-kadang terlelap pada mesin jahit. Kalau terasa letih dan mengantuk ingin juga baring-baring sekejap.  Maklum sahajalah akhir-akhir ini saya selalu tidur lewat kadang-kadang sampai pukul 1 pagi untuk siapkan tempahan yang urgent. Bangun pagi awal pula kerana perlu siapkan anak-anak yang nak pergi sekolah.

Baru sahaja nak terlelap, anak yang kecil sekali menjerit. "Ibu! ada orang datang rumah". Terus terjaga.

Kemudian bila nak baring semula. Baru sahaja terlelap sekejap. Telefon pula berdering "Kak Ros saya nak tanya Kak Ros, saya cuba jahit sendiri tudung tapi nampak senget. Kenapa boleh jadi macam tu. Begitu sopan sekali suara di talian. Kena layan dahulu telefon. Kalau message yang masuk bolehlah tangguh dahulu menjawab. Bila dah mula bersembang kadang-kadang terlajak sampai setengah jam. Macam-macam cerita lain keluar. Seronok bersembang dengan Kak Ros.

Kak Ros, saya ingat Kak Ros ni garang macam cerita Upin dan Ipin. Rupanya Kak Ros ni peramah.

Tempahan tudung labuh dari ustaz pun banyak helai. Dah janji dalam masa sebulan perlu disiapkan segera. 
Alhamdulillah akhirnya siap semua tudung. Terasa lega sekali apabila selesai menjahit tudung yang terakhir. Berjaya juga siap sebelum deadline. Semuanya 23 helai. 

Saya terbayang-bayang jika nanti pelajar-pelajar tahfiz memakai tudung ini. Akan nampak manis, sopan dan manja sekali. Tambahan pula dengan kemerduan suara masing-masing mengalunkan ayat-ayat suci Al Quran dengan bimbingan ustaz dan ustazah yang hebat-hebat. Tentunya terpesona sekali sehingga menusuk di kalbu. Terhibur mata yang memandang dan suara yang mendengar.

Bertuahnya anak-anak pandai mengaji Al Quran dan dapat menghafalnya dengan lancar dan tertib. Sejuk perut ibu mengandung. Semoga menjadi anak yang solehah.

Ustaz adalah peserta imam muda yang popular dalam rancangan di Astro.

Wednesday 12 February 2014

Tudung Chiffon Dengan Kilauan Batu Swarovski






Apakah yang difikirkan oleh seseorang wanita apabila ingin memakai sesuatu tudung? Pastinya perkara pertama yang difikirkan apakah tudung yang digayakan itu nampak kemas, ringkas, mengikut fesyen semasa dan kelihatan anggun apabila dipakai dalam apa jua suasana sekalipun. Pilihan tudung yang sesuai menjadi keutamaan dan kadang kala menjadi suatu kesukaran pula untuk mendapatkannya. Tambahan pula yang sesuai itu tidak terdapat di mana-mana kedai menjual tudung. Apabila sudah ditemui tidak padan pula dengan warna baju dan saiznya pula tidak mengikut seperti yang dikehendaki.

Pada masa sekarang terdapat berbagai aneka tudung daripada yang biasa sehinggalah yang mempunyai berbagai perincian seperti batu perhiasan, manik, labuci, reben, bunga dan yang lain-lain yang  turut mewarnai dunia fesyen untuk wanita yang ingin bergaya. Dunia fesyen tudung juga tidak ketinggalan dari peredaran fesyen semasa. 

Pemilihan tudung dengan perincian tertentu mampu menampilkan kelainan dan menyerlahkan keayuan dan keanggunan pemakai. Oleh sebab itu ada wanita yang memilih gaya tudung yang mempunyai perhiasaan pada tudung seperti  mempunyai batu-batuan yang bertaburan pada tudungnya.  Batu-batuan yang berkilau yang dihiasi pada tudung menjadikan pemakai kelihatan begitu menawan, berseri-seri serta elegan dan tak ketinggalan zaman.

Pemilihan batu-batuan yang sesuai untuk ditampal pada tudung terutamanya pada awning tudung adalah suatu yang dicari kerana ianya nampak begitu istimewa sekali apabila dipakai di majlis-majlis tertentu terutamanya jika majlis itu diadakan di waktu malam. Pemilihan batu hiasan yang sesuai sebenarnya adalah ingin mendapat kilauan dari batu tersebut terutamanya pada waktu malam apabila disinari oleh cahaya lampu. 

Pemakainya tentu akan kelihatan bergemerlapan sekali dengan muka yang berseri-seri sehingga memukau mata yang memandang. Oleh yang demikian batu hiasan yang sesuai yang mampu memberi impak kilauan tersebut dicari-cari oleh wanita.

Begitulah kehendak pelanggan saya kali ini yang mahukan tudungnya ditaburi baru-batu hiasan pada bahagian awning.  Oleh itu saya cuba mencari batu yang sesuai dan akhirnya membuat keputusan memilih batu swarovski yang memang terkenal di kalangan penggemar fesyen kerana dikatakan mampu memberi kilauan seperti berlian.

Untuk mendapatkan hiasan dari berlian memang sukar kerana harganya yang mahal dan tentu juga tidak selamat untuk dipakai bersama tudung kerana barangan berharga tersebut sentiasa menjadi idaman peragut yang merbahaya kepada pemakainya. Oleh yang demikian pemilihan batu swarovski menjadi alternatif kerana lebih selamat dipakai dan kilauannya tidak kalah seperti kilauan berlian. Pemakainya pun nampak mewah, anggun, kelihatan trendy dan moden.

Oleh sebab itulah saya memilih batu swarovski untuk ditampal sebagai perincian pada awning tudung seperti kehendak pelanggan saya ini. Harga batu swarovski ini memang agak mahal tetapi seperti berlian dan batu permata yang lain. Bolehlah kalau ingin cuba untuk ditampal pada tudung. 

Batu swarovski tidaklah begitu komplikated tetapi kelihatan jelas, ringkas dan sangat cantik dan  menyerikan lagi tudung  terutamanya jika dipakai pada waktu malam apabila nampak berkilau dibias cahaya lampu malam. 

Untuk menampal batu swarovski pada awning pula, saya menggunakan seterika ketika menyediakan awning sebelum dijahit pada tudung. Ini kerana batu swarovski ini adalah batu jenis ‘hot fix’ yang mudah lekat apabila dikenakan haba semasa ingin melekatkan batu pada awning.  Di bawah batu tampal ini sudah mempunyai gam yang apabila digosok dengan seterika atau dikena sedikit haba yang panas sudah mampu melekat dengan kuat pada kain. Batu swarovski yang asli biasanya akan melekat kuat pada kain dan tidak mudah tanggal apabila di basuh.

Caranya sangat mudah dengan meletakkan corak batu swarovski pada awning tudung mengikut corak yang memang sudah tersedia. Tekapkan seterika di atas batu-batu tersebut beberapa saat sehingga batu-batu tersebut betul-betul lekat pada awning tudung. Kemudian apabila batu swarovski tadi sudah melekat dengan baik pada awning tudung barulah saya akan cantumkan awning pada tudung dan menjahitnya sehingga siap tudung tersebut.

Batu swarovski boleh dibeli di kedai-kedai menjual barangan jahitan atau di kedai-kedai yang menjual batu-batu kristal untuk hiasan. Boleh didapati dengan pelbagai corak yang menarik, simpel dan ringkas.


Di bawah sedikit maklumat berkaitan batu swarovski seperti mana rujukan melalui sumber Wikipedia.

Kristal Swarovski sebenarnya bukanlah produk kristal semulajadi tetapi adalah hasil dari batu kristal buatan manusia yang dikeluarkan di Austria  oleh Swarovski AG.  Swarovski AG diasaskan  oleh Daniel Swarovski (1862-1956) orang yang pertama yang menjumpai kristal ini.  Daniel Swarovski  menemui formula  dan teknik dalam kaedah pemotongan kristal untuk menghasilkan suatu kristal yang sangat cantik dan bermutu tinggi. 

Pada Tahun 1895, Daniel Swarovski  menubuhkan suatu perusahaan Swarovski yang menghasilkan produk-produk seperti patung berbentuk miniatur kristal, objek hiasan dalaman rumah dan beberapa perhiasan kristal yang lain.

Sehingga kini keluarga Swarovski meneruskan tradisi ini untuk menghasil produk kristal swarovski yang begitu terkenal di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Produk batu-batu hiasan untuk ditampal pada pakaian dari swarovski menjadi kegilaan pereka fesyen untuk menghiasi  fesyen-fesyen mereka kerana kilauan dari batu kristal swaroski  itu sendiri mampu memberi kesan mewah seolah-olah seperti kilauan pada berlian.

Krsital swarovski banyak digunakan bukan sahaja untuk perhiasan tetapi juga pada aksesori fesyen, telefon bimbit, komputer, kamera, jam tangan  dan juga pada cermin mata. Produk asal dari Swarovski adalah berbentuk patung atau miniature kristal, perhiasaan, hiasan rumah, dan lain-lain. Semua produknya dihiasi dengan logo Swarovski yang berupa bunga 'edelweiss' pada awalnya. Tetapi pada tahun 1988 logo itu telah diganti dengan simbol angsa. 

Untuk menghasilkan gelas kristal seperti cahaya yang terbias pada spektrum pelangi, Swarovski melapisi produknya dengan bahan kimia metalik khas seperti Aurora Borealis (AB) yang memberikan permukaan kristal kelihatan terbias seperti pelangi. Lapisan yang lain dinamakan dengan nama syarikat termasuklah   Crystal Transmission, Volcano, Aurum, and Dorado.

Selain daripada itu Swarovski juga mempunyai anak syarikat yang menghasilkan produk-produk lain yang berlainan yang berasaskan bahan kristal swarovski.

Begitulah pelbagai ragam dunia fesyen dan tidak ketinggalan juga fesyen tudung.

Tuesday 11 February 2014

Kenali Label Jagaan Tekstil Antarabangsa

Apabila kita membeli sesuatu pakaian seperti baju, seluar dan lain-lain yang berjenama biasanya kita akan mendapati terdapat label pada pakaian yang mempunyai simbol-simbol tertentu yang menunjukkan bagaimana kita menjaga sesuatu fabrik itu dengan betul. Label simbol ini biasanya terdapat pada bahagian belakang pakaian, tepi kelepet, kolar baju dan sebagainya.

Ia memberikan kita simbol asas tentang sistem penjagaan pakaian dan fabrik yang dipersetujui oleh kebanyakan negara.

Ia memberi kita simbol asas yang  menunjukkan bagaimana kita menjaga pakiaan dengan betul seperti kaedah mencuci, menyeterika, mengering dan sebagainya.

Walaupun terdapat standard-standarad yang berlainan untuk negara-negara tertentu, biasanya terdapat simbol yang sama yang ditunjukkan dalam bentuk pictogram digunakan diperingkat antarabangsa yang dipersetujui oleh beberapa negara tertentu. Negara-negara yang bersetuju dengan Label Jagaan Fabrik Antarabangasa dengan mengguna simbol yang sama adalah Amerika Syarikat, Britaian, Eropah, Jepun dan Malaysia

Penjagaaan untuk pakaian tersebut ditandakan dengan simbol yang memberitahu kita, rawatan maksimum yang dibenarkan kepada pakaian tersebut tanpa merosakkan teksil.

Pengguna dapat mengetahui cara mencuci, mengering, menyeterika dengan cara yang betul melalui label yang terlekat pada pakaian atau fabrik yang dibeli. Ini dapat memastikan pakaian kita dapat dijaga dengan baik dan tahan lama. Untuk memastikan pakaian kita tidak rosak dan tahan lama kita perlu mematuhi panduan yang diberikan.

Mari kita kenali simbol-simbol tersebut yang biasa digunakan dalam penjagaan fabrik.

Berikut adalah lima simbol utama Label Jagaan Tekstil Antarabangsa.


Berikut pula adalah simbol yang digunakan untuk penjagaan dan rawatan tekstil.


Rujukan: Buku Kemahiran Hidup Bersepadu (Pilihan Ekonomi Rumah Tangga), PMR.

Semoga Bermanfaat

Monday 10 February 2014

Pelanggan Berulang Penting Untuk Perniagaan

Pelanggan dari Sabah




Pelanggan dari UKM

Bisnes menjahit untuk terus hidup tidak susah dan menikmati pendapatan yang konsisten setiap bulan tidak susah. Apabila sudah ada pelanggan setia, kita sudah ada asas yang cukup untuk mengekalkan pendapatan bulanan kita. Pakaian seperti baju, tudung dan sebagainya bukanlah barangan yang hanya perlu dibeli sekali sahaja. Pakaian perlu ditukar selalu. Sekurang-kurangnya setiap dua bulan sekali atau apabila tiba musim perayaan semuanya akan mencari pakaian baru.

Begitu juga untuk mereka yang mendapat servis untuk mendapat tempahan menjahit untuk menjual tudung atau shawl untuk dijual secara online. Apabila sesuatu produk itu sudah habis dijual, mereka akan datang lagi untuk membuat tempahan baru. 

Untuk mendapat pelanggan berulang atau setia inilah merupakan satu cabaran kepada tukang jahit. Bila sudah berjaya mengekalkan pelanggan setia ini kita akan menikmati pendapatan bulanan yang selesa. Jika kita sudah selesa dengan pendapatan kita melalui pelanggan setia kita dengan kapasiti yang kita ada, tidak perlu lagi kita susah-susah membuat promosi.

Sebagai seorang pengguna pula selalunya akan merasai pengalaman ini. Apabila seseorang pengguna itu sudah biasa membeli sesuatu produk atau mendapat perkhidamatan tertentu dari seseorang pengguna tersebut akan  terus membeli atau mendapat perkhidmatan dari tempat atau orangyang sama juga. 

Contohnya jika seseorang pengguna sudah mula menghantar kain untuk dijahit dari tukang jahit biasanya dia akan terus kekal dengan tukang jahit yang sama jika berpuas hati dengan servis yang pertama itu. Pandangan pertama atau 'first impression' terhadap sesuatu servis menyebabkan pengguna itu terus kekal dengan servis itu. Begitu juga untuk perkhidmatan yang lain seperti menggunting rambut dan lain-lain.

Ini kerana apabila pengguna  membeli atau sudah biasa mendapat perkhidmatan dari suatu kedai atau orang tertentu biasanya akan terus kekal dengan kedai yang sama atau orang yang sama. 

Mengikut kajian yang dilakukan kejayaan sesuatu bisnes sangat bergantung kepada  pelanggan yang berulang atau 'repeat customer'. Oleh itu mengekalkan pelanggan yang berulang adalah sesuatu yang amat kritikal terhadap sesuatu bisnes khususnya seperti bisnes menjahit yang saya lakukan.

Ini berlaku kerana antara pengguna dan penyedia perkhidmatan tersebut sudah ada satu hubungan peribadi yang mana pengguna merasa selesa untuk mendapatkan khidmat seterusnya daripada mereka. 

Apabila pengguna sudah biasa mendapat perkhidmatan dari tukang jahit yang sama mereka akan terus setia dengan tukang jahit tersebut walaupun terdapat tukang jahit yang lain menawar perkhidmatan yang sama. 

Begitu juga apabila pengguna sudah biasa membeli di kedai online tertentu, mereka akan terus membeli di kedai online yang sama walaupun banyak lagi kedai online yang lain menawarkan produk yang sama.

Kadang-kadang menjadi tradisi keluarga untuk terus kekal dengan perkhidmatan dari orang yang sama bermula dari dirinya sendiri sehinggalah ke anak cucunya. Malahan apabila diberi pilihan yang lain mereka tetap tidak mahu berubah. Kalau tukang jahit mendapat pelanggan sebegini tidak susah lagi untuk terus kekalkan bisnes yang ada.

Kepada penjual atau penyedia perkhidmatan pula seperi saya sendiri perlu melihat pelanggan berulang ini sebagai suatu peluang atau potensi untuk meneruskan kelangsungan dalam bisnes yang dijalankan.

Untuk membina 'repeat customer' penjual atau penyedia perkhidmatan perlu memastikan produk atau servisnya mempunyai ciri-ciri yang disukai oleh pelanggan. Itu yang perlu saya fikirkan untuk perkhidmatan yang saya sediakan

Untuk mendapat pendapatan yang konsisten saya perlu memastikan pelanggan saya yang sudah biasa mendapat perkhidmatan saya akan terus datang lagi dan lagi sehinggakan saya tidak perlu lagi mencari pelanggan yang baru apabila melebihi kapasiti saya untuk menjahit.

Sekarang saya melihat keadaan ini telah berlaku kepada banyak pelanggan saya yang sudah biasa membuat tempahan. 

Mari kita lihat apakah kelebihan pelanggan berulang ini?
  • Pelanggan yang sudah biasa dengan produk yang digunakan sukar untuk menukar dengan produk yang lain. Jika mereka sudah biasa dengan tudung jenama A, sukar sekali untuk menukar dengan tudung jenama yang lain walaupun tudung jenama lain setanding dan lebih baik daripada jenama A. Begitu juga dengan produk atau perkhidmatan yang lain. 
  • Adalah lebih murah untuk menarik pelanggan yang sedia ada berbanding yang baru kerana tak perlu lagi membelanjakan untuk iklan, marketing, media dan juga lain-lain untuk menarik pelanggan baru. Begitu juga banyak masa pun dapat dijimatkan. Masa yang ada boleh lebih fokus kepada menyiapkan tempahan atau memberi perkhidmatan yang lebih baik.
  • Apabila pelanggan pertama kali sudah suka dengan produk atau servis kita, mereka akan terus datang lagi untuk membeli atau membuat tempahan baru jika pada pandangan pertama terhadapa produk atau servis yang kita lakukan adalah baik dan bermutu. Biasanya pelanggan ini akan menyebarkan kepada kawan-kawannya yang lain  tentang produk kita. Pemasaran dari mulut ke mulut akan berlaku dan tersebar dengan lebih luas. 
  • Pelanggan mengharapkan kita mampu menyelesaikan masalah mereka dan mampu mengikut kehendak mereka. Jika kita mampu melakukan, mereka tentunya tidak ragu-ragu lagi akan setia dengan produk atau servis yang kita lakukan. Lagi pun senang nak berurusan apabila sudah ada hubungan peribadi yang dijalin buat pertama kali dahulu.
  • Untuk membina pelanggan berulang, kita perlu konsisten. Produk/Servis mesti bekualiti dan excellence. Barulah pelanggan datang lagi. Betul tak.
  • Membina hubungan yang baik dan positif dengan pelanggan. Apabila pelanggan sudah suka mereka akan datang lagi. Menjalin hubungan peribadi menjadi seperti kawan-kawan yang rapat amat penting.
  • Dapat mengenali pelanggan dengan baik. Bukan senang untuk membina pelanggan yang berulang jika kita tidak mengenali pelanggan kita, nilai-nilai yang ada pada pelangga kita, kehendak mereka dan lain-lain.. Oleh sebab itu menyimpan data-data pelanggan sangat penting. Inipun InsyaAllah saya cuba lakukan
  • Jika berlaku sebarang kesilapan terhadap servis kita seperti baju tidak menepati kehendak pelanggan akan lebih mudah untuk berbincang dengan pelanggan sebab sudah kenal dan biasa dengan pelanggan tersebut. Mereka boleh menerima penjelasan kita.
  • Membina hubungan yang lebih mesra. Oleh sebab itulah saya menulis blog dengan gaya penulisan saya tersendiri. Saya sebenarnya cuba meletakkan diri saya seolah-olah seperti pada kedudukan pelanggan apabila menulis. Saya rasa saya lebih mesra dengan berbuat begitu.
  • Bila sudah ada kesetiaan dari pelanggan sudah tidak susah-susah lagi untuk membuat marketing dan promosi.

Jika dah ada pelanggan berulang, pendapatan setiap bulan akan jadi konsisten. Mungkin jika sudah melebihi kapasiti saya ada untuk menjahit, tak perlu lagi saya nak susah-susah buat promosi selepas ini. Mungkin juga sudah boleh berhenti untuk terus menulis di blog. Saya bukan nak jadi blogger popular.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018